Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.05.06

'Nantikan aksi saya'

Oleh: Harian Metro

PENGALAMAN beraksi dalam liga berstatus elit di Eropah bakal digunakan pemain import terbaru Selangor, Perica Ognjenovic, bagi membantu skuad Merah Kuning itu mempertahankan Piala Malaysia musim ini.

Bekas bintang Real Madrid musim 1999-2001 itu secara rasminya menjadi pemain Selangor selepas menandatangani kontrak di depan pengurus pasukan, Datuk Satim Diman dan jurulatih pasukan, Dollah Salleh, di Wisma FAS, Kelana Jaya, semalam, bagi tempoh hingga tamat musim ini.

Ditanya mengenai harapan besar yang disandarkan pengurusan pasukan bagi mengangkat kembali imej skuad Gergasi Merah itu yang tersembam ke tangga tercorot Liga Super musim ini, Ognjenovic, hanya menjawab, dia akan mencuba dan melakukan yang terbaik.

“Biar saya menunjukkan aksi saya terlebih dulu dan kita akan mendapat tahu sama ada saya mampu membantu mereka (Selangor).

“Tetapi, apa yang pasti, sebagai pemain profesional, tumpuan saya ialah memberikan persembahan kepada pasukan ini bagi memastikan mereka mencatat kejayaan selepas ini,” katanya, semalam.

Ognjenovic, 29, berasal dari Serbia&Montengero pernah beraksi di samping bintang Real Madrid seperti Raul Gonzalez, Fernando Morientes, Davor Suker, Steve McManaman, dan Roberto Carlos dari musim 1999 hingga 2001.

Dia pernah mewakili kelab Red Star Belgrade (1994-1999), Kaiserslautern (2001-2003) dan Dynamo Kiev pada 2003.

Mengenai betapa pentingnya Piala Malaysia dipertahankan Selangor musim ini, Ognjenovic berkata, piala itu adalah paling berprestij di negara ini dan kerana itu dia berjanji untuk memastikan hasrat skuad kendalian Dollah itu tercapai.

“Ini adalah piala paling penting dalam Liga Malaysia dan saya tahu ia amat disanjung seluruh peminat bola sepak negara ini.

“Mereka memenanginya musim lalu dan saya tahu sudah tentu mereka akan bersungguh-sungguh mempertahankannya dan saya pula akan berusaha membantu mereka,” katanya.

Sebagai pemain profesional juga, katanya, dia tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan suasana di negara ini termasuk soal cuaca dan pemakanan.

“Di sini terdapat pelbagai jenis makanan dan ia tidak menjadi masalah kepada saya.

“Memang cuaca di sini agak panas tetapi ia juga bukan masalah kerana perlawanan diadakan di sebelah malam,” katanya.

Ognjenovic menggantikan pemain import Selangor dari Argentina, Brian Fuentes, yang beraksi dengan skuad Merah Kuning itu sejak tiga musim lalu.