13.05.06
Perica ganti Fuentes
Oleh: Harian Metro
KHIDMAT penyerang import Selangor dari Argentina, Brian Fuentes, berakhir dengan kehadiran bekas pemain Real Madrid, Perica Ognjenovic, dalam usaha skuad Merah Kuning itu memantapkan pasukan bagi mempertahankan Piala Malaysia musim ini.
Kontrak penjaring terbanyak Selangor musim 2004 itu ditamatkan minggu ini selepas Selangor mengambil keputusan menggunakan khidmat Ognjenovic, yang pernah beraksi di Real Madrid pada musim 1999-2001.
Manakala, kontrak Ognjenovic akan ditandatangani di pejabat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Isnin ini selepas segala perkara berkaitan gaji dan urusan lain diselesaikan.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh, berkata keputusan menamatkan khidmat Fuentes yang beraksi selama tiga musim dengan Selangor dibuat selepas beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pengurusan pasukan.
“Ini adalah satu keputusan yang amat berat untuk dibuat kerana dia adalah seorang pemain yang banyak berjasa kepada pasukan ini terutama membantu Selangor menjulang tiga piala musim lalu.
“Bagaimanapun, kita terpaksa mengambil keputusan ini demi kebaikan pasukan dalam usaha mempertahankan Piala Malaysia musim ini dan berusaha mengekalkan tempat dalam Liga Super musim depan,” katanya, semalam.
Menerusi gandingan bersama penyerang import dari Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy, Fuentes membantu Selangor menjulang Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Liga Perdana musim lalu.
Selain tiga pemain itu, Selangor melengkapkan kuota empat pemain import mereka dengan mendapatkan pemain pertahanan, Cheikh Ba.
Dollah berkata, Fuentes memaklumkan kepadanya bahawa dia akan berehat seketika selepas ini dan mahu menyaksikan Piala Dunia di Jerman, awal bulan depan.
“Dia juga menyatakan mahu mencuba nasib di Eropah atau kembali ke Argentina bagi meneruskan kariernya selepas ini.
“Jadi, kita mengucapkan terima kasih di atas jasanya dalam pasukan ini dan berharap dia akan berjaya sebagai pemain bola sepak di Eropah atau Argentina selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Dollah berkata, aksi Ognjenovic bagi pertemuan menentang Telekom Melaka di Stadium Hang Jebat, malam ini, selepas Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC), pemain itu belum diperolehi.
“Kita mengambil keputusan untuk mencuba aksinya dalam perlawanan ini tetapi nampaknya hasrat itu tidak dapat dilaksanakan selepas menghadapi masalah ini,” katanya.
Berikutan itu, katanya, dia mengambil keputusan memberi peluang kepada beberapa muka baru terdiri daripada pemain Piala Presiden negeri itu.
“Kita akan mencuba beberapa pemain dari skuad Piala Presiden terutama bagi posisi penjaga gol, pemain tengah dan penyerang selepas mempamerkan aksi membanggakan dalam beberapa siri latihan yang dijalankan sebelum ini.
“Sebelum ini, kita memberi peluang kepada penyerang, S Sritharan dan dia membuktikan keupayaannya apabila menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan.
“Dia juga bergandingan baik dengan Bambang Pamungkas dan mempunyai masa depan cerah jika mengekalkan persembahan seperti ini,” katanya.