24.05.06
Perlis 3 Selangor 2 (Liga Super)
Oleh: Bernama

Naib juara Piala FA 2006, Perlis mengubat kekecewaan penyokongnya apabila menumpaskan Selangor 3-2 pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Utama, di sini Selasa malam.
Tuan rumah membuka gol seawal minit ke-2 menerusi hantaran pemain import Muhd Lamin Conteh yang ditanduk kemas oleh rakan senegaranya, Philimon Chipeta menanduk kemas ke dalam gawang Selangor.
Kesilapan penjaga gol Merah Kuning, Syed Adney Syed Hussain yang gagal menangkap bola hasil rembatan Efendi Malik dengan kemas membolehkan naib juara Piala FA musim ini menambah jaringan apabila Mohd Nazaruddin Mohd Zain merembat bola muntah itu pada minit ke-28.
Dua minit selepas gol kedua Perlis, Wan Rohaimi Wan Ismail berjaya merapatkan jurang gol selepas berjaya mengelecek pertahanan sebelum menjungkit kemas bola di depan pintu gol, bermula dari gerakan bekas pemain Real Madrid, Perica Ognjenovic.
Pada perlawanan separuh masa kedua, juara treble musim lepas, kembali menyamakan kedudukan menerusi tandukan Bambang Pamungkas pada minit ke-49 selepas menerima hantaran lintang dari pemain gantian Mohd Razman Roslan.
Bambang hampir meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-58 selepas menerima umpanan cantik dari Mohd Amri Yahyah namun tandukannya sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang Mohd Amran Omar.
Dalam keghairahan pasukan pelawat mencari jaringan tambahan, kesilapan K. Sanbagamaran menjatuhkan Azi Shahril Azmi membolehkan tuan rumah memperolehi sepakan percuma dan pemain gantian, Adrien Jurat Chamrong menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-65 menewaskan Syed Adney.
Tendangan pemain pertahanan, Cheikh Ba pada minit ke-78 di depan pintu gol Perlis sedikit melewati palang gol menidakkan peluang Selangor menyekat hasrat Perlis memungut mata penuh.
Minit-minit terakhir perlawanan menyaksikan Selangor masih belum berputus asa mengasak pintu gol Perlis namun peluang Bambang pada minit ke-88 gagal disempurnakan dengan baik apabila rembatannya jauh melepasi palang gol.
Sementara itu, Selangor yang tewas pada perlawanan terakhir pada Selasa malam perlu melalui perlawanan "play-off" untuk membolehkan mereka kekal bersaing pada saingan Liga Super musim depan.