17.05.06
Selamat jalan Brian Fuentes
Oleh: pippo

Laungan 'Argentina!' 'Argentina!' di Stadium PBKL sebaik sahaja wisel penamat perlawanan Selangor menentang Hurriya ditiup membuktikan betapa sayangnya penyokong Merah Kuning kepada Brian Fuentes. Tidak kurang juga yang menitiskan air mata menyaksikan detik pemain itu mengangkat tangan kepada penonton sebagai tanda penghargaan beliau.
Manakan tidak. Jasanya menjaringkan 82 gol dalam hanya kurang dari 3 musim membuktikan kehebatan beliau. Statistik ini tampak lagi hebat jika dibandingkan dengan penyerang paling berbisa Selangor sejak era Liga Semi Pro yang menjaringkan 106 gol, tetapi bezanya Azman mengambil 8 musim berlainan untuk mencecah angka tersebut.
Brian Diego Fuentes tiba di bumi Malaysia pada Disember 2003 bersama-sama trio Argentina Aldo Andes Mores, Miguel Angel Gonzales dan Diego Cepeda bersama-sama bekas pengarah kejurulatihan Boca Juniors Ruben Omar Larossa dalam usaha Selangor membersihkan arang terconteng di muka berikutan turunnya Gergasi Merah ke Liga Perdana setelah aksi longlai dalam liga 2003.
Tatkala seorang demi seorang rakan senegara tumpas dek kesukaran menyesuaikan diri dan kecederaan, malah jurulatih Omar Larossa turut melangkah pergi, Fuentes berseorangan membawa cabaran sang Gergasi. Walaupun Selangor gagal mencapai sasaran ke Liga Super pada tahun 2004 itu, Fuentes telah menunjukkan kehandalannya menjaringkan 32 gol dalam musim pertamanya.
Tahun 2005, kehadiran penyerang dari Indonesia Bambang Pamungkas dan hero Piala Tiger 2004 Malaysia, Khalid Jamlus menyarung jersi Merah Kuning seolah-olah mengancam kedudukan Fuentes sebagai penyerang utama Selangor. Namun tidak semudah itu untuk Fuentes berputus asa.
Fuentes menunjukkan fleksibiti beliau untuk beraksi di posisi yang asing baginya demi kebaikan pasukan. Statistik 30 gol yang beliau sumbangkan amat menakjubkan, tambahan pula hampir 90% perlawanan musim 2005 beliau beraksi di sayap kiri!
Tiga piala menjadi genggaman Gergasi Merah pada 2005 hasil gol-gol dari Bambang dan Fuentes. Musim ini, walaupun prestasi Selangor yang terumbang-ambing dan pelbagai masalah yang melanda, Fuentes tetap berupaya menjaringkan 10 gol. Namun corak permainannya yang sama dengan Bambang menyaksikan pihak pengurusan terpaksa menamatkan kontrak beliau leboh awal bagi memberi laluan kepada bekas penyerang Real Madrid, Perica Ognjenovic.
Ketika ditemui oleh wakil-wakil dari selangorfc.com sehari sebelum perlawanan menentang Hurriya, Fuentes tetap menunjukkan sikap profesional beliau dengan jawapan berdiplomasi dan enggan memburukkan sesiapa walaupun diajukan pelbagai soalan panas berkaitan layanan kurang mesra Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terhadap wira yang banyak berjasa ini.
Fuentes sebaliknya bersikap positif dengan menyatakan waktu FAS menamatkan kontraknya amat sesuai bagi beliau mencuba nasib di Eropah kerana off-season di samping menceritakan pengalaman manis beliau di Malaysia. Walaupun cita-cita beliau untuk menjaringkan 100 gol tidak kesampaian, namun jasa beliau amat dihargai peminat bolasepak Selangor amnya dan ahli selangorfc.com khususnya. Terima kasih di atas segalanya. Selamat jalan Brian Fuentes!