14.07.06
Rahsia Badak dalam kocek
Oleh: Harian Metro
RAHSIA kekuatan Sabah, skuad yang akan ditentang Selangor di Stadium Likas, Sabtu ini, berada dalam `kocek’ Nazrulerwan Makmor, pertahanan tengah pasukan Merah Kuning itu.
Pengalaman beraksi selama satu musim bersama skuad `Sang Badak’ itu pada musim 2004, sebelum berhijrah ke Selangor setahun kemudian, memberi kelebihan kepada Nazrulerwan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan bekas pasukannya itu.
Nazrulerwan berkata, pengalaman beraksi dengan Sabah dua musim lalu akan digunakan sepenuhnya untuk membantu Selangor meraih tiga mata penting dalam pertemuan itu nanti.
“Ramai pemain Sabah yang masih kekal dalam skuad kali ini dan kerana itu saya begitu memahami tahap kemampuan mereka.
“Biarpun dibarisi pemain muda, Sabah bukan satu pasukan yang mudah ditewaskan, apatah lagi mereka beraksi di gelanggang sendiri,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Senasib dengan Sabah, Selangor masih belum memungut sebarang mata apabila tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan pertama Piala Malaysia dan 1-2 kepada Terengganu dalam perlawanan kedua, manakala Sabah tewas 0-3 kepada kedua-dua pasukan itu.
Pemain muda berusia 26 tahun itu mengakui Selangor begitu terdesak untuk mencipta kemenangan di Stadium Likas, malam Sabtu nanti.
“Kami sudah berusaha memperbaiki permainan sejak mengalami penurunan drastik dalam kempen Liga Super sebelum ini.
“Matlamat itu sudah dicapai tetapi masalah menjaringkan gol pula melanda pasukan ini dan menyebabkan kami tewas dalam dua perlawanan awal sebelum ini,” katanya.
Berikutan itu, kata pemain yang digelar `Orang Besi’ skuad Merah Kuning itu, mereka perlu mengambil peluang aksi di Stadium Likas nanti untuk memungut tiga mata penuh supaya dapat mencerahkan peluang mengejar Negeri Sembilan dan Terengganu yang sudah memungut enam mata penuh.
“Kami sudah mengenal pasti punca kelemahan dalam dua perlawanan sebelum ini dan kami juga berjaya mengembalikan semula keyakinan yang agak terjejas berikutan keputusan yang buruk itu.
“Memang kami tertekan apabila gagal meraih sebarang mata setakat ini tetapi saya yakin sebagai satu pasukan yang berpengalaman, kami akan memastikan pulang dari Sabah dengan tiga mata berada dalam genggaman,” katanya.
Nazrulerwan berkata, cabaran daripada pengurusan pasukan untuk mengembalikan kegemilangan skuad Merah Kuning seperti yang dicapai musim lalu menguatkan semangat mereka untuk lebih menyerlah dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
“Kami adalah penyandang juara Piala Malaysia, dan tiada sebab kami tidak mampu beraksi sebagai `sang juara’ seperti yang dipamerkan musim lalu.
“Kami mesti segera bangkit supaya hajat mempertahankan kejuaraan yang dibanggakan seluruh peminat bola sepak itu dapat ditunaikan,” katanya.