Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.07.06

Selangor terdesak

Oleh: Harian Metro

TANPA sebarang mata daripada dua perlawanan menjadikan skuad Merah Kuning dalam keadaan paling kritikal untuk mempertahankan Piala Malaysia musim ini.

Mereka perlu mencuri tiga mata apabila bertandang ke Stadium Likas, malam Sabtu ini, tetapi satu perkara yang perlu diberi perhatian serius jurulatihnya, Dollah Salleh (gambar) , ialah memperkukuhkan benteng skuad itu terlebih dulu.

Dalam empat perlawanan sebelum ini, menentang Johor FC dalam perlawanan penentuan ke Liga Super, berdepan Negeri Sembilan dan Terengganu dalam kempen Piala Malaysia, pertahanan Selangor terbukti rapuh pada babak awal permainan.

Dollah berkata, mereka bernasib baik apabila mampu bangkit ketika ketinggalan awal dalam dua perlawanan menentang Johor FC, tetapi ternyata tuah tidak menyebelahi ketika menentang Negeri Sembilan dan Terengganu.

“Dalam empat perlawanan ini, kita melepaskan gol awal yang menyebabkan kita menghadapi tekanan untuk mencari gol penyamaan dan cuba mendapatkan gol kemenangan.

“Kita berjaya dalam dua perlawanan awal menentang Johor FC, tetapi apabila berdepan Negeri Sembilan dan Terengganu, kita nyata tidak berdaya mengubah keputusan itu,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Dollah berkata, pemain amat kecewa dengan dua kekalahan awal itu selepas mereka berjaya mempamerkan aksi yang membanggakan.

“Mereka memang beraksi dengan baik tetapi tiada maknanya jika tidak menang.

“Hanya pasukan yang menang akan disanjung, manakala yang tewas perlu menerima keputusan itu,” katanya.

Dollah berkata, pemain berjanji untuk tidak mengecewakan penyokong setia mereka apabila menentang Sabah, Sabtu ini, dengan berusaha mencari tiga mata pertama.

“Inilah misi paling penting sekali ketika ini iaitu cuba membenam Sabah di tempat mereka dan kemudian berusaha memenangi tiga perlawanan di tempat sendiri.”