17.08.06
Badut intai Persija Jakarta
Oleh: Harian Metro
Pemain bek Selangor, Nazrulerwan Makmor mahu berhijrah ke Indonesia bagi memperagakan aksinya selepas digugurkan dari skuad Selangor musim depan.
"Saya difahamkan liga bola sepak negara itu begitu mencabar sekali kerana perlu mengharungi 72 perlawanan satu musim, berbanding tidak sampai 30 perlawanan dalam liga tempatan.
"Jadi, saya berharap jika mampu beraksi di sana, saya dapat meningkatkan lagi mutu permainan dan seterusnya kembali merebut tempat dalam skuad kebangsaan," katanya semalam.
Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Khir Toyo, sebelum ini mengumumkan langkah drastik apabila menggugurkan semua pemain senior skuad itu kecuali empat tonggak bagi membawa cabaran dalam saingan Liga Super musim depan.
Nazrul yang dikenali sebagai Badut di kalangan teman rapat bertuah sekali apabila rakan baiknya dalam pasukan Selangor, Bambang Pamungkas bersungguh-sungguh mahu membantunya beraksi bersama Persija Jakarta, kelab yang diwakilinya sebelum ini.
"Bambang mahu membantu saya mendapatkan tempat dalam pasukan Persija Jakarta selepas digugurkan daripada skuad Selangor musim depan.
"Dia tidak mempunyai masalah berbuat demikian kerana hubungan baik dengan pengurusan pasukan itu," katanya.