02.08.06
Dollah fokus Piala AFC
Oleh: Harian Metro
JURULATIH skuad Merah Kuning, Dollah Salleh, tidak mengetahui masa depannya bersama pasukan itu selepas mereka tersingkir daripada persaingan Piala Malaysia musim ini.
Selepas membawa Selangor menjuarai tiga piala termasuk Piala Malaysia musim lalu, harapan Dollah untuk mengulangi pencapaian itu sekali lagi berkecai apabila kekurangan jaringan menafikan peluang skuad Merah Kuning ke suku akhir.
“Saya perlu menunggu keputusan daripada pengurusan pasukan sama ada berminat menggunakan khidmat saya selepas ini.
“Sebagai jurulatih, saya menerima sebarang keputusan ditetapkan,” katanya kepada Arena Metro.
Bagaimanapun, Dollah berkata, jika khidmatnya dikekalkan selepas ini, dia perlu memberi tumpuan bagi memperbaiki prestasi skuad Selangor yang akan terbabit dalam perlawanan suku akhir Piala AFC bulan depan.
“Inilah saja kejohanan yang tinggal buat Selangor musim ini selepas kami gagal mengulangi pencapaian seperti musim lalu.
“Inilah peluang terakhir bagi Selangor untuk memulihkan imej yang tercalar selepas gagal dalam persaingan Piala Malaysia,” katanya.
Di suku akhir Piala AFC nanti, Selangor akan berdepan kelab Lubnan, Al Nejmeh, pada 12 September depan di tempat sendiri sebelum ke Lubnan bagi suku akhir kedua.
Dollah berkata, biarpun kecewa dengan kempen Piala Malaysia musim ini, dia tetap menaruh harapan tinggi untuk mencipta kejayaan dalam Piala AFC nanti.
“Kita akan menghadapi perlawanan ini sama seperti perlawanan lain kerana ini adalah pertandingan di peringkat Asia yang sudah tentu lebih sengit persaingannya.
“Jadi, kami akan membuat persiapan yang lebih rapi terutama memastikan pemain mencapai prestasi terbaik menjelang perlawanan itu nanti,” katanya.
Buat masa ini, katanya, semua pemain Selangor diberi rehat selama seminggu dan akan berlatih kembali untuk menghadapi Piala AFC minggu depan.
“Saya berharap kami dapat menggunakan khidmat semua tonggak dalam pasukan ini bagi perlawanan itu nanti supaya segala masalah yang dihadapi dalam kempen Piala Malaysia tidak berulang lagi,” katanya.