Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
04.08.06

Dollah jelajah cari pemain

Oleh: Harian Metro

HASIL yang luar biasa lahir daripada ilham yang luar biasa. Itulah yang menjadi pegangan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, ketika mengumumkan langkah drastik menggugurkan semua pemain skuad Merah Kuning ketika ini dan hanya bersandarkan kepada kemampuan pemain bawah 23 tahun mengharungi cabaran Liga Super musim depan.

Berbekalkan peruntukan tidak melebihi RM3 juta, FAS mensasarkan skuad muda Selangor itu akan mencipta nama di pentas tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pada mata kasar semua pihak, memang mustahil sebuah pasukan yang sebelum ini digelar "Gergasi Merah" dengan deretan kejayaan menjulang Piala Malaysia sebanyak 30 kali, mampu bangkit selepas ini.

Tetapi, bagi Mohamad Khir, jika Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Liga Perdana mampu dirangkul musim lalu, perjalanan skuad muda Merah Kuning selepas ini pasti mencapai matlamatnya jika dilakukan bersungguh-sungguh.

Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin, berkata bagi merealisasikan wawasan tiga tahun itu, langkah pertama yang perlu dilakukan panel jurulatih yang diketuai Dollah Salleh dan Ismail Zakaria, ialah mencari pemain di seluruh negara yang berusia di bawah 23 tahun.

"Panel jurulatih akan menjelajah seluruh negara untuk memikat pemain berbakat besar untuk dipilih mewakili Selangor tahun depan.

"Selain itu, mereka akan memberi perhatian terhadap pemain dalam Liga FAS dan kemudian menjelajah sembilan daerah di seluruh Selangor untuk mencari anak watan negeri ini untuk melengkapkan skuad Merah Kuning yang akan beraksi musim depan," katanya dalam sidang media, semalam.

Langkah drastik itu bukan hanya membabitkan pemain senior Selangor, malah kelibat pemain import dalam skuad itu juga tidak akan dilihat kerana FAS memilih untuk menggunakan tenaga anak watan sepenuhnya.

"Bagi musim akan datang, kita mahu melihat sama ada skuad muda yang kita bentuk mampu bersaing dengan pasukan lain yang menggunakan pemain senior dan pemain import," katanya.

Tiga sasaran utama ditetapkan FAS bagi skuad muda itu dengan kekal beraksi dalam Liga Super pada musim pertama tahun depan dan layak beraksi dalam Piala Malaysia.

"Pada tahun berikutnya dan apabila pemain ini sudah matang sepenuhnya, kita berharap mereka akan mencapai matlamat menjulang Piala Malaysia pada 2009," menurut Hamidin.

Hamidin berkata, skuad muda Selangor itu akan ditempatkan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negeri (MSN), di Shah Alam, dengan dibekalkan segala keperluan yang mencukupi.

"Selain jurulatih berkaliber, kita juga akan membekalkan mereka dengan kemudahan pakar pemakanan, psikologi, gimnasium, kolam renang serta kemudahan lain supaya latihan dijalankan secara sistematik.

"Kita juga akan menjalin kerjasama dengan ibu bapa pemain bagi memastikan mereka berkeyakinan penuh terhadap kemampuan kita membimbing anak-anak mereka untuk menjadi pemain berkaliber pada masa akan datang," katanya.

Matlamat terakhir FAS dalam pembentukan skuad muda itu, kata Hamidin, ialah untuk membekalkan pemain berkebolehan besar kepada skuad kebangsaan yang kekurangan pemain berkualiti.

"Kita juga mahu pemain ini mempunyai cita-cita besar dengan berusaha merebut tempat beraksi dengan kelab di luar negara.

"Jika semua matlamat ini dicapai, kita bukan saja membantu meningkatkan prestasi skuad negara, malah membantu ke arah mutu bola sepak negara di pentas antarabangsa," katanya.

Mengenai nasib pemain yang digugurkan musim ini, Hamidin berkata, pemain akan dilepaskan secepat mungkin bagi membolehkan mereka mencari pasukan sebelum Liga Malaysia bermula hujung tahun ini.