03.08.06
FAS ambil tindakan berani
Oleh: Harian Metro
LANGKAH drastik Selangor melakukan rombakan besar-besaran dengan hanya menggunakan khidmat semua pemain bawah 23 tahun dalam aksi Liga Super musim depan adalah tindakan berani bagi semua pihak yang terbabit dalam skuad berkenaan.
Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman, berkata tindakan yang dilakukan Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, mesti diterima semua pihak sebagai satu cabaran buat mereka.
“Menggunakan keseluruhan pemain muda dalam cabaran Liga Super adalah langkah berani yang FAS ambil.
“Tanpa pemain import dan senior, skuad Selangor yang dibarisi pemain muda perlu bersaing dengan pasukan lain yang sudah tentu lebih mantap dan berkaliber,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Semalam, Dr Mohamad Khir membuat kenyataan bahawa cabaran Selangor musim depan akan digalas skuad bawah 23 tahun dan tanpa menggunakan khidmat pemain import.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau kecewa dengan prestasi skuad Merah Kuning musim ini yang gagal meraih sebarang piala dan tidak berpeluang mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.
Satim berkata, biarpun dibarisi pemain muda, beliau yakin skuad Selangor membuat kejutan pada masa akan datang.
“Mungkin kita tidak mampu meraih piala pada musim depan, tetapi pembabitan pemain bawah 23 tahun ini adalah langkah jangka panjang bagi melahirkan sebuah pasukan yang mantap dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Saya yakin dengan semangat tinggi pemain muda ini, Selangor akan mencapai matlamatnya biarpun ia kelihatan sukar pada musim depan.
Katanya, pembabitan pemain dari skuad bawah 23 tahun itu juga adalah peluang keemasan bagi pemain muda membuktikan kemampuan sebenar mereka.
“Sebelum ini, kita hanya memberi peluang kepada beberapa pemain saja dari skuad ini, tetapi melalui rombakan besar-besaran ini, peluang mereka terbuka luas.
“Inilah masanya mereka mesti mempamerkan kebolehan masing-masing dengan bijak bagi memastikan bakat mereka tidak dipersia-siakan begitu saja,” katanya kepada Arena Metro, semalam.