Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.08.06

Liga Indonesia gamit ‘Badut’

Oleh: Berita Harian

ANDAI benar kata Bambang Pamungkas yang menyuarakan hasrat mahu membantu bekas rakan sepasukan Selangor, Nazrul Erwan Makmor memperagakan bakatnya di seberang laut, peminat bola sepak tanah air bakal menyaksikan anak tempatan kita itu bakal ‘angkat kaki’ beraksi di Liga Indonesia, musim ini.

Tatkala pemain tempatan cenderung memilih pasukan dalam negara, Nazrul Erwan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Badut’ berkata dia sedang menimbang secara serius untuk beraksi bersama kelab Persija Jakarta selepas dipelawa oleh Bambang Pamungkas dan juga dan Elie Aiboy.

Menurutnya, cadangan itu disuarakan Bambang selepas keputusan pengurusan Selangor membubarkan skuad musim ini dan menamatkan khidmat pemain import untuk digantikan dengan skuad yang dibarisi sebahagian besar pemain bawah 23 tahun untuk musim depan.

Badut yang tidak tersenarai dalam empat pemain senior yang dikekalkan untuk musim depan berkata, dia turut menerima tawaran daripada beberapa pasukan tempatan, namun mengakui peluang beraksi di Indonesia sukar untuk diketepikan begitu saja.

“Selepas pengurusan Selangor mengumumkan pembubaran skuad, Bambang ada cadangkan kepada saya untuk menyertainya dan Elie beraksi bersama kelab Persija Jakarta.

“Menurut Bambang, jika saya bersetuju dia boleh bantu untuk meyakinkan pengurusan Persija untuk menerima saya,” katanya sambil menjelaskan Bambang mempunyai hubungan rapat dengan pegawai tertinggi bekas kelab itu.

Badut yang kini berusia 26 tahun menyertai Selangor dua musim lalu dari skuad Sabah berkata, cadangan Bambang itu amat menarik untuk dipertimbangkan dan bakal menjadi pencetus kepada pemain tempatan negara ini yang asyik memikirkan untuk beraksi dalam negara.

Menurutnya, dia tidak kisah untuk beraksi di mana-mana sekali pun demi menambah pengalaman dan meningkatkan lagi mutu permainannya.

“Tentu sekali, selain menimbangkan tawaran daripada beberapa pasukan tempatan, cadangan untuk beraksi di Indonesia ini akan saya pertimbangkan sebaiknya.

“Namun, buat masa ini saya mahu beri tumpuan untuk membantu Selangor dalam kempen Piala AFC terlebih dulu untuk sekurang-kurangnya menamatkan pembabitan saya dengan sedikit penghargaan selepas gagal memenangi sebarang piala dalam kempen domestik,” katanya.