03.08.06
"Minta maaflah pemain lama"
Oleh: Harian Metro
APABILA persaingan Liga Super musim depan bermula, ada sesuatu yang sangat menarik dijanjikan Selangor untuk dipertaruhkan - wajah baru yang mungkin diwakili anak muda dari seluruh negara!
Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (gambar), semalam mengumumkan semua pemain yang mewakili pasukan itu musin ini digugurkan kecuali "seorang dua" pemain senior - itupun hanya untuk membimbing bakat baru nanti.
Sambil menyatakan pasukan itu akan dibarisi pemain berusia di bawah 23 tahun, FAS menawarkan tempat kepada anak muda dari seluruh negara untuk diberi kemudahan asrama, latihan komprehensif dan keperluan lain untuk menggalas cabaran Selangor.
"Minta maaflah pemain lama, kerana mereka semua digugurkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Shah Alam, semalam.
Dr Mohamad Khir yang jelas kecewa dengan kejatuhan teruk Selangor, juga mengumumkan tidak lagi menyandarkan harapan kepada pemain import.
"Jadi, sesiapa yang berbakat, berkemampuan, berkemahiran di negeri lain dan berminat mewakili Selangor, boleh menghubungi kami untuk melalui penilaian khas," katanya.
Selangor yang begitu gah pada tahun lalu apabila merangkul tiga kejuaraan, termasuk Piala Malaysia, kini tersungkur apabila terlepas semua piala, dan gagal menempatkan diri dalam lapan pasukan terbaik di pusingan suku akhir musim ini.
Yakin dengan ketetapan drastik itu, Dr Mohamad Khir berkata, FAS berpendapat keputusan terbaru itu tidak menyalahi undang-undang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Malah, penolakan terhadap tenaga import menyimpan hasrat tersirat kepada Menteri Besar Selangor itu.
"Saya mahu buktikan orang Malaysia boleh bermain bola tanpa pemain import, malah mampu berjaya dan bergaya seperti orang Brazil," katanya.
Dr Mohamad Khir berkata, matlamat sebenar pengambilan pemain import adalah untuk memindahkan kemahiran mereka kepada pemain tempatan, tetapi sasaran itu tidak dapat direalisasikan di Selangor.
Ia juga, katanya, gagal menarik kehadiran penonton ke stadium selain tidak mengubah mentaliti pemain tempatan.
Untuk lebih realistik, Selangor ternyata tidak menyimpan harapan tinggi pada musim depan.
"Selangor mungkin tidak berharap membawa pulang apa-apa piala musim depan, tetapi insya-Allah kejayaan dapat digapai pada musim berikutnya," katanya.