15.08.06
Rohaimi kecewa dicerai Selangor
Oleh: Harian Metro
PEMAIN pertahanan Selangor, Wan Rohaimi Ismail menjelaskan bahawa keputusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang hanya menyenaraikan dua pemain senior bagi musim 2006/2007 cukup mengecewakan.
Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkata, keputusan itu perit diterimanya menyebabkan dia perlu mencari pasukan lain untuk meneruskan kerjaya bola sepaknya.
Walaupun hanya semusim bersama Selangor, Wan Rohaimi gembira bersama rakan sepasukan walaupun gagal meraih sebarang gelaran musim ini.
“Saya berterima kasih kepada FAS kerana menerima saya tetapi kerana prestasi kurang baik menyebabkan kami gagal memenangi sebarang kejuaraan.
“Bagaimanapun, saya tetap akur dengan keputusan itu dan kini sedang mencari pasukan baru.
“Setakat ini, memang ada tawaran daripada sebuah pasukan dari Lembah Klang tetapi saya belum membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya.
Wan Rohaimi yang pernah mencetuskan kontroversi dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum memilih Selangor, tidak memilih pasukan Liga Super atau Liga Perdana.
Buat masa ini, pemain berusia 30 tahun itu masih menjalani latihan seperti biasa bagi menghadapi saingan suku akhir Piala AFC pada 21 Ogos ini.
“Saya mahu memberikan sesuatu untuk Selangor sebelum bertukar angin dengan pasukan lain musim depan,” katanya.