16.08.06
Selangor mula cari pemain
Skuad bola sepak Selangor yang mengetepikan sebahagian besar pemain utama musim ini akan memulakan pencarian bintang baru berusia 23 tahun di sembilan daerah bermula Ahad ini.
Penolong Pengurus Selangor, Faisal Abdullah berkata, sembilan daerah telah dikenal pasti sebagai medan ujian pemilihan untuk mencari pemain berkaliber dan berkualiti bagi diserapkan mewakili skuad Merah Kuning berwajah baru dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Menurut Faisal, jurulatih Dollah Salleh dan pembantunya, Ismail Zakaria akan mengetuai jawatankuasa panel pemilihan akan menjelajah ke sembilan daerah itu untuk mencungkil bakat-bakat baru untuk menyarung jersi Selangor.
Beliau berkata, semua pemain yang lahir pada atau selepas tahun 1984 dipelawa menyertai ujian pemilihan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.
‘‘Sembilan daerah yang telah dikenal pasti untuk ujian pemilihan ialah Kuala Selangor, Klang, Sepang, Hulu Langat, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Sabak Bernam.
‘‘Kita membuka peluang bukan sahaja kepada pemain dari Selangor tetapi juga kepada mereka yang berada di luar turut berpeluang untuk menghadiri sesi ujian pemilihan ini,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), semalam.
Beliau menegaskan, mana-mana pemain yang menyertai skuad Liga Super atau Liga Perdana musim ini turut dipelawa menghadiri sesi pemilihan tersebut.
Faisal memberitahu, FAS tidak lagi mengamalkan dasar memancing pemain sebaliknya, jika mereka berminat menyertai Selangor mereka perlu menghadiri sesi pemilihan yang telah ditetapkan.
Menurut Faisal, FAS akan mencari seberapa ramai pemain bukan sahaja untuk skuad senior tetapi juga untuk pasukan bawah 20 tahun Selangor.
Beliau berkata, usaha tersebut adalah hasil saranan Presiden FAS, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang mahukan skuad Selangor kali ini dibarisi dimensi baru pemain bawah 23 tahun.
Ujarnya, pemain yang akan dipilih perlu melalui beberapa ujian sebelum mereka ditawarkan kontrak menyarung jersi Merah Kuning bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.
‘‘Pemain yang dipilih ini akan menikmati gaji, elaun dan tempat tinggal,’’ ujarnya.