Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.08.06

Selangor tak cadang pancing pemain pasukan lain

Oleh: Berita Harian

PENGURUSAN skuad Liga Super Selangor tidak bercadang memancing mana-mana pemain pasukan lain musim depan, sebaliknya terbabit secara langsung terhadap pencarian bakat baru.

Skuad itu yang mengumumkan akan membariskan sebahagian besar pemain bawah 23 tahun untuk musim depan akan memulakan misi pencarian pemain itu mulai Ahad ini di Kuala Selangor sebelum meneruskannya ke beberapa daerah lain di negeri itu.

Penolong pengurus pasukan, Faizal Abdullah berkata, sekalipun terdapat beberapa pemain bawah 23 tahun yang mempamerkan aksi cemerlang bersama beberapa pasukan, mereka akan menumpukan terhadap program pemilihan itu terlebih dulu yang juga akan dikembangkan ke negeri lain.

“Kami tidak bercadang memancing mana-mana pemain dari pasukan lain, tetapi jika ada yang berminat untuk menyertai skuad Selangor, mereka amat digalakkan menyertai program pemilihan yang kami jalankan.

“Tujuannya ialah kami hanya mahukan mereka yang betul-betul berminat dan menunjukkan kesungguhan saja menyertai skuad Selangor,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam.

Hadir sama Exco Sukan Selangor, Datuk Nawawi Mohd Zin dan Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin.

Presiden FAS, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebelum ini mengumumkan skuad Selangor musim depan akan dibarisi oleh pemain bawah 23 tahun dengan hanya mengekalkan satu atau dua pemain senior dan tidak menggunakan pemain import.

Pada sidang akhbar itu, Faizal turut mengumumkan, empat pemain senior - kapten pasukan Shukor Adan, P Gunalan, Mohd Razman Roslan dan Mohd Fadhil Mohd Hashim - akan dikekalkan untuk membimbing pemain muda yang membarisi skuad Selangor musim depan.

Faizal berkata, program pemilihan itu juga terbuka kepada semua pemain dari luar Selangor dan akan dilakukan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor yang turut mencari pemain untuk diserapkan dalam skuad Piala Presiden dan Piala FAM.

“Walaupun program ini kami mulakan dengan daerah di Selangor dulu, kami juga galakkan mereka dari negeri lain untuk menyertainya.

“Kami akan cuba memilih kira-kira 40 pemain dan mereka yang gagal diserapkan ke dalam skuad Liga Super akan cuba diserapkan ke dalam skuad Piala Presiden atau Piala FAM,” katanya.

Sementara itu, masalah kecederaan yang berlarutan serta prestasi pemain yang melepasi tahap kemuncak dikenal pasti antara faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan ketara prestasi skuad Selangor musim ini.

Rumusan itu hasil bedah siasat yang dilakukan oleh skuad itu selepas Selangor yang merangkul tiga kejuaraan musim lalu - Piala Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia - menamatkan saingan Liga Malaysia musim ini dengan tangan kosong selepas gagal mempertahankan semua piala berkenaan.