Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
05.08.06

Tak perlu pertikai keputusan FAS

Oleh: Harian Metro

"SEBAGAI pemain profesional, mereka mesti menerima sebarang keputusan pengurusan," kata Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman.

Beliau mengulas langkah drastik Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, yang menggugurkan semua pemain skuad Merah Kuning musim ini dan hanya akan menggunakan pemain di bawah 23 tahun mengibar cabaran pasukan itu dalam Liga Super musim depan.

Satim berkata, pemain tidak boleh mempersoalkan keputusan pengurusan FAS kerana badan induk bola sepak Selangor itu mahu membuat perubahan selepas persembahan yang mengecewakan musim ini.

"Jika musim lalu, Selangor menang tiga piala, tetapi musim ini kita gagal menjulang satu piala pun dan lebih teruk lagi tidak layak beraksi di suku akhir Piala Malaysia, sekali gus kempunan mempertahankan piala itu.

"Jadi, apabila pengurusan membuat keputusan merombak pasukan ini, pemain mesti bersedia menerima sebarang kemungkinan. Jangan pula terkejut," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebagai pemain profesional juga, katanya, pemain Selangor masih mempunyai tugas besar apabila beraksi di peringkat suku akhir Piala AFC pada 12 September ini, menentang kelab Al-Nejmeh dari Lubnan.

"Inilah pentas terbaik mereka mempamerkan kemampuan bagi membuktikan mereka adalah pemain terbaik di negara ini dengan bertekad memenangi perlawanan ini serta mencipta kejayaan dalam kejohanan ini.

"Jika mereka mampu membawa Selangor mara ke separuh akhir dan kemudian ke final Piala AFC, sudah tentu banyak pasukan berminat menggunakan khidmat mereka," pada musim depan dan mereka mesti menggunakan peluang ini sepenuhnya," katanya.

Mengenai pembayaran gaji bagi pemain skuad Merah Kuning itu, Satim berkata, FAS tidak berdepan sebarang masalah menjelaskan semua pembayaran kepada mereka.

"Mereka masih mempunyai kontrak hingga Oktober depan dan kita akan menjelaskan sebarang bayaran kepada pemain.

"Jadi, mereka tidak perlu risau mengenai masalah ini," katanya.