Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
05.08.06

Tiada kaitan dengan rasuah

Oleh: Berita Harian

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menggugurkan semua pemain skuad Merah-Kuning, musim ini termasuk pemain import tidak ada kaitan dengan rasuah, tegas presidennya, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Malah, beliau yang juga Menteri Besar Selangor menafikan rasuah sebagai punca prestasi hambar skuad Selangor pada saingan Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.

"Saya tak tahu pula ada dakwaan rasuah. Sehingga kini, saya tidak dimaklumkan ada pemain kita terbabit dalam kes rasuah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Rela di Kelab Shah Alam, semalam.

Dr Mohamad Khir sebaliknya menyifatkan dakwaan itu ditimbulkan peminat yang terlalu kecewa dengan prestasi pasukan Selangor musim ini.

Rabu lalu, kenyataan Dr Mohamad Khir mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan semua pemain skuad Merah Kuning akan digugurkan berikutan kegagalan pasukan itu mempertahankan tiga piala yang diraihnya musim lalu.

Menurutnya, skuad negeri akan disertai pemain berusia bawah 23 tahun pada musim depan.

Skuad Selangor, yang merangkul Piala FA, Piala Malaysia dan menjuarai Liga Perdana musim lalu, gagal mempertahankan semua kejuaraan itu musim ini.

Ditanya mengenai kedudukan jurulatih, Dollah Salleh, Dr Mohamad Khir berkata, nasibnya akan ditentukan dalam mesyuarat peringkat pengurusan FAS, minggu depan.

"Apa yang saya hendak lihat ialah satu pasukan yang dibarisi semua pemain Malaysia, sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia juga boleh bermain bola sepak dengan baik.

"Tidak ada bezanya rakyat Brazil atau Malaysia. Apa yang menjadi masalah ialah latihan. Alhamdulillah, asrama di Pusat Akuatik sudah siap.

"Kita akan letakkan pemain di situ. Kerajaan negeri pula akan melihat daripada segi kebajikan, makanan dan latihan secara komprehensif," katanya.

Dr Mohamad Khir berkata, pemain akan dilatih secara profesional bukan secara "ad-hoc" seperti hari ini.