19.09.06
Al Nejmeh 0 Selangor 0 (QF Piala AFC)
Oleh: pippo

Selangor mengikat kelab Lebanon, Al Nejmeh 0-0 dalam perlawanan kedua suku akhir Piala AFC di Beirut malam tadi, keputusan yang membolehkan naib juara kejohanan edisi 2005 itu layak ke separuh akhir dengan agregat 1-0.
Selepas memenangi perlawanan pusingan pertama di Shah Alam hasil jaringan Ali Wasif Mohamed, keputusan perlawanan semalam yang disaksikan kira-kira 3,500 penonton di Stadium Sports City Beirut bakal menemukan Al Nejmeh dengan Muharraq dari Bahrain.
Al Nejmeh, tanpa ketua pasukan Moussa Hjeij dan tunggak pertahanan Faisal Antar dan Mohamad Halawi - memulakan aksi dengan cemerlang dengan menguasai bahagian tengah dan seharusnya mendahului di awal babak separuh masa pertama.
Peluang pertama pasukan tuan rumah hadir seawal minit ke 6 namun sepakan penyerang Ali Nassereddine dari jarak dekat hanya melepasi palang.
Pada minit ke 18, Al Nejmeh semakin menghampiri gawang Selangor yang dijaga Shahrizan Ismail, namun sepakan kencang jarak jauh dari Abbas Atwi melewati sasaran tujuh minit sebelum cubaan dari Wasef menerima nasib yang sama.
Pasukan pelawat turut menguji gawang Al Nejmeh dengan beberapa cubaan jarak jauh namun tiada yang benar-benar menggugat pwnjaga gawang tuan rumah Ahmed Sakr.
Namun pada minit ke 39, Selangor hampir melakukan kejutan apabila sepakan kencang oleh Bambang Pamungkas hanya mampu ditampan penjaga gol dan Shukor Adan menyepak masuk bola lantunan tetapi jaringan tersebut dibatalkan pengadil akibat offside.
Sebelum separuh masa pertama berakhir, Al Nejmeh memperolehi sepakan percuma yang dilakukan dengan cantik oleh Atwi yang memaksa Shahrizan melayangkan badan untuk menyelamatkan gawangnya dari dibolosi.
Enam minit selepas babak kedua bermula, Atwi berpeluang untuk menguji gawang Selangor sekali lagi namun sepakan lencong pemain midfield berusia 27 tahun itu bijak diselamatkan Shahrizan.
Selangor memperoleh kesempatan terbaik menyamakan agregat pada minit ke 56 namun hantaran cantik Bambang tidak dapat disudahkan oleh mana-mana pemain Merah Kuning.
Amri Yahyah menyepak melepasi palang 12 minit kemudian manakala sepakan Bambang dihalang oleh Bilal Najjarine pada minit 78 walaupun penjaga gol Al Nejmeh sudahpun tertewas.
Empat minit sebelum wisel penamat ditiupkan, Nejmeh memperolehi peluang terakhir namun Atwi yang berhadapan satu lawan satu dengan Shahrizan gagal mengatasinya sekali lagi.
Jurulatih Al Nejmeh dari Algeria, Mahmoud Qandouz menyatakan perjalanan jarak jauh dari untuk kedua-dua perlawanan sebagai alasan persembahan buruk anak-anak buahnya.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, perlawanan ini sangat mencabar bagi kami. Keadaan fizikal pemain kurang memuaskan setelah mengharungi penerbangan 26 jam di samping terpaksa menunggu lebih 4 jam di Lapangan Terbang Doha untuk transit." kata Qandouz.
“Ini sudah pasti memberi kesan kepada pemain di samping kurangnya kecergasan yang merupakan punca utama kami gagal menjaringkan sebarang gol malam ini.”
“Saya telah memberi amaran kepada pemain agar tidak mengambil remeh perlawanan ini. Mereka merasakan setelah memenangi perlawanan pusingan pertama di Malaysia bermakna laluan lebih mudah apabila beraksi di gelanggang sendiri. Tetapi jelas tanggapan ini adalah salah.”
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh memuji aksi cemerlang penjaga gol Shahrizan Ismail. “Kedua-dua pasukan bermain baik kali ini. Bagi Selangor, saya memuji aksi Shahrizan yang banyak menyelamatkan cubaan bahaya hari ini.”
"Pemain lain juga beraksi dengan baik dan saya gembira dengan corak persembahan yang ditunjukkan walaupun perlawanan ini adalah yang terakhir buat mereka bermain bersama kerana kontrak mereka tidak dilanjutkan untuk musim akan datang.”
"Pihak pengurusan tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam pertandingan ini. Para pemain juga kurang bersemangat selepas pengumuman yang mereka bakal digugurkan dibuat sebelum kedua-dua perlawanan menentang Al Nejmeh ini.”
"Kami bermain buruk dalam perlawanan pertama di Malaysia tetapi malam ini saya terkejut dengan persembahan yang ditunjukkan di samping aksi cemerlang penjaga gol."
SELANGOR: 22.Mohd Shahrizan Ismail, 2.Ahmad Tharmini Saiban, 4.Mohd Fadhil Mohd Hashim, 8.Elie Aiboy (27. S Sritharan), 12.K Sanbagamaran, 15.P Gunalan, 16. Cheikh Ba, 17.Amri Yahyah, 19.D Surendran, 20. Bambang Pamungkas, 25.Shukor Adan.
Simpanan: 3.Razman Roslan, 13.Azlisham Ibrahim, 14.S Sivaram, 18.Aiman Firdaus Tan, 26.Amirul Hadi Zainal, 28.Zaiza Zainal Abidin