12.09.06
Selangor 0 Al Nejmeh 1 (QF Piala AFC)
Peluang untuk menebus aib yang dialami musim ini gagal digunakan sepenuhnya oleh Selangor yang tewas 0-1 kepada kelab dari Lebanon, Al Nejmeh dalam perlawanan pusingan pertama Suku Akhir Piala AFC di Stadium Shah Alam malam tadi.
'Volley' kencang Ali Wasif Mohamad pada minit ke 24 sudah cukup untuk memberi Al Nejmeh kelebihan berharga untuk dibawa pulang ke Beirut minggu hadapan tatkala Selangor gagal menterjemahkan penguasaan permainan kepada jaringan gol sebelum beraksi dengan 10 pemain di 12 minit terakhir setelah K Rajan dibuang padang.
Membariskan tiga pemain import, Elie Aiboy dan Bambang Pamungkas dari Indonesia serta Ba Cheikh dari Senegal, Selangor bermula garang dan seharusnya mendahului pada minit ke 18.
Ketua pasukan Shukor Adan melintangkan hantaran cantik ke dalam kotak penalti namun Bambang gagal menyepak masuk walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol lawan.
Bilal Najjarine menerima kad kuning pertama perlawanan akibat terjahan keras terhadap Amri Yahyah betul-betul di luar kotak penalti yang hampir-hampir membawa padah jika tidak kerana sepakan percuma yang diambil D Surendran sedikit tersasar.
Dengan peluang demi peluang yang gagal disempurnakan oleh Selangor, Al Nejmeh menghukum kesilapan pertahanan tuan rumah untuk mendahului pada minit ke 24.
Bola yang gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya dengan sempurna oleh Wan Rohaimi Wan Ismail dirampas oleh Mohamad, yang menyepak kencang dari jarak 30 meter sama sekali menewaskan penjaga gol tuan rumah, Shahrizan Ismail.
Abbas Atwi hampir menambah gol pasukan pelawat 4 minit selepas babak kedua bersambung namun hantaran satu-dua dengan Mohamad Ghaddar di dalam kawasan Selangor berjaya dibaca oleh Shahrizan.
Terkejut dengan situasi itu, Selangor bangkit dari lamunan dan mula melancarkan serangan bertali-arus terhadap pintu gol Al Nejmeh namun dikecewakan oleh penyudah tumpul dan pertahanan kemas lawan di saat pasukan lawan lebih rela berkampung di kawasan sendiri dan mempertahankan kelebihan jaringan.
Satu serangan balas Nejmeh hampir membawa padah kepada Selangor apabila pemain simpanan Ali Nassereddine dihadiahkan peluang keemasan di bahagian kiri setelah memperdaya D.Surendran dan melepasi penjaga gol hanya mampu menyepak sipi.
Peluang Selangor untuk sekurang-kurangnya mencri gol penyamaan musnah sama sekali apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke 78 hasil tindakan kurang bijak K Rajan menerjah keras Khalid Hamieh. Pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada pemain sayap kiri Selangor itu.
Jurulatih Al Nejmeh Mahmoud Qanduz jelas gembira dengan keputusan tersebut. “Kedua-dua pasukan menunjukkan persembahan yang baik walaupun ini merupakan perlawanan pertama kami sejak dikumpulkan dua minggu lalu. Kami juga tidak sempat mengadakan walau satu perlawanan persahabatan pun berikutan situasi di Lebanon,” kata Qanduz.
"Pemain saya tidak bersedia secara fizikal namun mereka berjaya membuktikan kecemerlangan dengan mengikut arahan dan strategi yang ditetapkan.”
"Kami bermain tanpa dua pemain kebangsaan Lebanon iaitu Feisal Antar dan Mohammed Halawi yang mengalami kecederaan namun bakal beraksi selepas ini. Ini merupakan pasukan baru dan kami akan lakukan yang terbaik untuk layak ke separuh akhir."
Jurulatih Selangor Dollah Salleh berkata ini merupakan tempoh sukar buat pemainnya. "Saya percaya pemain-pemain telah berusaha sedaya-upaya. Ini merupakan tempoh sukar buat mereka kerana tidak pasti dengan nasib mereka selepas ini tetapi saya yakin mereka akan terus berusaha di puisngan kedua di Lebanon nanti.”
"Barisan serangan tidak setajam yang diharapkan namun keputusan ini tidak seteruk mana. Kami akan berusaha sehabis baik minggu hadapan walaupun diakui keseluruhan pasukan jelas tidak bersedia dari segi mental dan fizikal buat masa ini."