Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
24.10.06

Aksi Surendran masih ditagih

Oleh: Harian Metro

Peluang kedua yang diberikan pengurusan pasukan Selangor yang masih berminat menggunakan khidmatnya dalam saingan Liga Super musim depan diibaratkan sebagai bonus buat pemain pertahanan skuad Merah Kuning itu, D Surendran.

Selepas namanya berada dalam senarai pemain yang disingkirkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), rayuan pemain yang mempunyai kemahiran melakukan rembatan dari jarak jauh itu diterima pengurusan skuad berkenaan bersama-sama penyerang, Amri Yahyah.

Bagi membalas kepercayaan yang diberikan FAS itu, Surendran bertekad memastikan Selangor muncul antara pasukan paling disegani seperti yang pernah dilakukannya pada musim 2005 apabila membantu pasukan Lembah Klang itu memenangi Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Liga Perdana.

“Ini adalah keputusan yang amat mengharukan saya kerana mereka masih berminat menggunakan khidmat saya musim depan meskipun pada awalnya nama saya tiada dalam perancangan pengurusan skuad ini.

“Sebagai antara pemain senior dalam pasukan Selangor, saya akan memberikan aksi terbaik sepanjang tahun selepas agak tenggelam musim ini kerana dilanda kecederaan berpanjangan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Surendran yang mampu beraksi di posisi pertahanan kiri dan kanan berkata, dia juga bertekad untuk merebut kembali tempatnya dalam skuad kebangsaan selepas kali terakhir menyarung jersi negara pada pertandingan Piala Tiger dua tahun lalu.

“Saya memang sangat kecewa kerana gagal membantu negara menjuarai Piala Tiger itu walaupun kita berpeluang cerah melangkah ke perlawanan akhir selepas menang selesa ke atas Indonesia di tempat mereka.

“Jadi, peluang beraksi bersama Selangor musim depan akan saya gunakan sepenuhnya untuk menarik kembali perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Norizan Bakar, bagi memastikan saya dipilih dalam pasukan negara,” katanya.

Selepas berehat agak lama akibat kecederaan pangkal paha, Surendran begitu yakin dia mampu mengembalikan prestasi terbaiknya dalam tempoh terdekat.

“Kecederaan ini sudah pulih sepenuhnya dan saya juga dapat menjalani latihan dengan lebih selesa sekarang.

“Jadi, saya tidak nampak sebarang masalah untuk saya beraksi pada tahap terbaik untuk membantu Selangor mengembalikan kegemilangannya seperti sebelum ini,” katanya.

Selepas menggugurkan sebahagian besar pemain senior musim lalu, Selangor hanya mengekalkan beberapa pemain seperti kapten pasukan, Shukor Adan, P Gunalan, Razman Rozlan, Fadhil Hashim, Surendran dan Amri.

Skuad Merah Kuning itu juga diperkuatkan dengan pengambilan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, pemain tengah kebangsaan, Fadzli Saari dan bekas penjaga gol Sabah, Mohd Anis Faron.