Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
30.10.06

FAS dirayu buka ruang

Oleh: Harian Metro

PRESIDEN Kelab Zorro Wiro Selangor FC, Khaidzir Ishak Ubah, meminta Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menimbang semula pembabitan pemain senior untuk diserapkan dalam skuad Merah Kuning mengharungi musim Liga M 2006/2007.

Katanya, dia merayu agar pengurus pasukan, Datuk Satim Diman seboleh-bolehnya menempatkan seorang pemain import terutama selepas Ellie Aiboy (gambar) menyatakan kesanggupannya untuk menyarung jersi Selangor.

Khaidzir berkata, sejak kelab itu ditubuhkan hampir dua tahun lalu, hubungannya bersama penyokong dan pemain Indonesia itu amat akrab, terbaru dia menerima panggilan telefon daripada Elie yang mengatakan keazaman serta kesanggupannya untuk membawa cabaran Selangor menjuarai Liga Super mahupun Piala Malaysia.

“Selepas Selangor gagal mencari bakat baru bawah 23 tahun, apa salahnya jika FAS membuka ruang kepada pemain senior yang masih boleh menaburkan bakti terutamanya menyelitkan seorang pemain import.

“Ellie sendiri yang menawarkan diri untuk menyarung jersi Selangor biarpun selepas digugurkan. Dia mahu membuktikan kegagalannya musim lalu adalah disebabkan kecederaan dan kali ini dia mahu membuktikan kepada penyokong bahawa dia mampu membawa Selangor kembali gah dalam kancah bola sepak Malaysia selepas merangkul tiga piala sekali gus,” katanya.

Ramai yang berpendapat keputusan Presiden FAS, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, menggugurkan sebahagian besar pemain senior dan menamatkan khidmat tiga pemain importnya menjadikan skuad itu sebagai pasukan belasan.

Tetapi jika beliau dapat menimbang semula penyertaan pemain senior yang masih berkemampuan, Selangor mampu bangkit.

Khaidzir yang menekankan prinsip tiga ‘P’- Pengurusan, Pemain dan Penyokong berkata, pengambilan semula Ellie dalam skuad Merah Kuning sekurang-kurangnya dapat menjana semula kutipan tiket yang mampu disumbangkan daripada peminat Indonesia.

Ini kerana ketika final Piala Malaysia pada 2005, lebih daripada separuh Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi penyokong Indonesia yang datang memberikan sokongan justeru pengambilan semula Ellie setidak-tidaknya mampu menarik penyokong negara jiran itu untuk terus menyokong bola sepak negara.

Katanya, biar apapun keputusannya nanti, Khaidzir tetap akan meneruskan sokongan tidak berbelah bagi kepada skuad Selangor serta berkeyakinan penuh kepada jurulatihnya, Dollah Salleh untuk membawa semula Selangor digeruni.