28.10.06
Negara Kurang Pemain Berwibawa Bawah 23 Tahun
Oleh: Bernama
Malaysia kekurangan pemain bola sepak berusia bawah 23 tahun yang berwibawa, dan ini mengakibatkan Selangor gagal membangunkan satu pasukan pemain muda yang mantap bagi membantu ia menghadapi Liga Malaysia 2006-2007 ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri yang nyata kecewa dengan ketandusan para pemain itu berkata, beliau percaya keadaan tersebut berpunca daripada sistem latihan yang longgar.
"Saya agak kecewa tidak ada pemain bawah 23 tahun yang boleh bermain di peringkat kebangsaan. Kita mencari dan terus mencari tetapi tidak jumpa. Latihan terlalu kurang untuk lahirkan pemain berwibawa bawah 23 tahun," katanya semasa ditemui di rumah terbukanya di Simpang Lima, Sungai Besar di sini Sabtu.
Menurutnya pasukan Selangor musim depan akan dibarisi skuad campuran antara pemain muda di bawah 23 tahun dan pemain senior.
Selangor sudah menamakan 16 pemainnya yang turut membariskan pemain tengah Pahang dan kebangsaan, Fadzli Saari, bekas penyerang handalan Kedah dan negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli serta penjaga gol Sabah, Anis Faron Arsidi.
Sepuluh daripada pemain yang disenaraikan itu merupakan pemain berusia bawah 23 tahun, dan antara yang turut tersenarai ialah dua pemain senior musim lepas, D. Surendran dan Amri Yahyah.
Dr Mohamad Khir berkata kekurangan pemain muda dibawah 23 tahun menyebabkan pasukan bola sepak terpaksa "berebut" untuk mendapatkan khidmat pemain berwibawa yang sedia ada.
Sebagai langkah mengatasi masalah ketandusan pemain muda, katanya Selangor akan menubuhkan satu pasukan bola sepak bawah 23 tahun dan 19 tahun untuk diberi latihan sewajarnya.
Beliau berkata pasukan bola sepak PKNS juga diarahkan agar tidak menggunakan khidmat pemain import dan hanya menyenaraikan pemain di bawah umur 23 tahun sahaja.
Dr Mohamad Khir seterusnya berkata beliau juga tidak mahu pasukan bola sepak MBPJ dan MPSJ beraksi pada musim kali ini kerana tidak mahu melihat wang rakyat digunakan untuk pasukan bola sepak.
"Wang rakyat untuk rakyat, wang rakyat tidak boleh digunakan untuk pasukan bola sepak. Kita tidak perlu naikkan imej pihak berkuasa tempatan melalui pasukan bola sepak," katanya.