Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.10.06

Selangor tidak guna pemain import

Oleh: Utusan Malaysia

Selangor tidak akan menggunakan khidmat pemain import sambil menyenaraikan 10 pemain berusia bawah 23 tahun bagi menghadapi Liga Malaysia 2006-2007, Disember ini.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Dr. Satim Diman berkata, tenaga import sebaliknya cuma diperlukan bagi mengisi jawatan jurulatih fizikal merangkap penolong ketua jurulatih, Dollah Salleh.

Kebanyakan pemain muda kali ini, katanya, bakal membawa semangat anak jati Selangor yang diharap mampu menandingi lawan yang memiliki pemain import dan mereka yang lebih berkaliber dalam Liga M.

Sehingga kelmarin, Selangor telah menamakan 16 pemainnya termasuk pemain tengah Pahang dan kebangsaan, Fadzli Saari, bekas penyerang handalan Kedah dan negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli serta penjaga gol Sabah, Anis Faron Arsidi.

Turut tersenarai semula ialah dua pemain senior musim lalu, D. Surendran dan Amri Yahyah tetapi empat kuota masih kosong kerana Gergasi Merah bakal mendaftarkan 20 pemain serta lima simpanan ke Liga M.

Khidmat gandingan Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy sejak musim 2005 serta Cheikh Ba (Senegal), hanya bertahan hingga suku akhir Piala AFC yang mana Selangor tewas 0-1 kepada Al Nejmeh dari Lebanon.

“Pada musim 2005 pun Selangor membariskan ramai muka baru tetapi tetap berjaya membawa pulang tiga piala, jadi saya tidak nampak mengapa kami tidak mampu mengulanginya, musim depan,” katanya.

Agak menarik ialah kemunculan Zaiza Zainal, anak Zainal Abidin Hassan biarpun sebelum ini nama bekas jurulatih Pahang dan penyerang negara itu, disebut-sebut akan digandingkan dengan Dollah dalam mengemudi Merah Kuning.

“Khidmat tujuh senior Selangor masih diperlukan bagi mengetuai benteng, tengah dan serangan kami,” kata Satim yang juga pengurus pasukan Selangor pada majlis berbuka puasa dengan media di Hotel Hilton di sini, kelmarin.

Sebelum ini, FAS hanya mengekalkan khidmat ketua pasukan Shukor Adan, Razman Roslan, Fadhil Hashim, P. Gunalan dan S. Sritharan selepas Selangor gagal mempertahankan Piala FA dan Malaysia serta tercorot dalam Liga Super.

Kata Satim, Faizal Abdullah dan bekas pengurus skuad Piala Presiden Selangor yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal dilantik sebagai penolong pengurus pasukan.