Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
30.10.06

Selangor yakin tanpa Zainal

Oleh: Harian Metro

PENGURUS pasukan Selangor, Datuk Satim Diman mengakui pernah berhajat mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan dan jurulatih Pahang musim lalu, Zainal Abidin Hasan untuk digandingkan bersama jurulatih sedia ada, Dollah Salleh bagi tugas membimbing skuad merah kuning bagi kempen musim baru Liga Super bermula Disember ini.

Menurut beliau, khidmat individu seperti Zainal memang diperlukan skuad itu bagi menyuntik ‘angin baru’ selain memperbaiki prestasi merudum selepas gagal mempertahankan tiga kejuaraan yang dimenangi pada 2005.

Biarpun hajat memancing Zainal yang dilabel memiliki karetor tersendiri tidak kesampaian namun Satim tetap percaya dan menaruh keyakinan pasukan Selangor mampu bangkit pada musim ini.

“Memang sebelum ini kita merancang untuk mengambil Zainal (Abidin) untuk membentuk dua gandingan jurulatih bagi musim ini. Namun selepas Zainal masih terikat dengan pengurusan Pahang jadi kita mengambil jalan sedia ada dengan terus memberi kepercayaan penuh kepada Dollah (Salleh).

“Saya percaya pengalaman yang dimiliki Zainal selaku bekas pemain berpengalaman dan penolong jurulatih kebangsaan pada suatu ketika dulu sedikit sebanyak dapat membantu pasukan dan pemain-pemain muda kita.

“Tambahan pula Zainal dan Dollah juga bersahabat baik. Jadi saya percaya tidak timbul sebarang masalah dalam perkara ini,” kata Satim yang ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya dan Mengacau Dodol di Masjid Riadhus Solihin, Serdang Jaya, minggu lalu.

Pada majlis itu, sebanyak lapan kawah dodol dan barangan telah diagihkan oleh Datuk Satim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Serdang, jawatankuasa masjid dan Umno Bahagian Puchong. Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Adnan Md Ikshan.

Dalam perkembangan lain, pengurusan skuad Selangor yang mendapat khidmat bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Fadzli Saari (Pahang), Sapee Sali (Sarawak) dan dua penjaga gol, Anis Faron Arsidi (Sabah), Megat Amir Faisal Ibrahim (Kedah), masih mencari seorang lagi pemain pertahanan tengah berpengalaman untuk memantapkan benteng pertahanan pasukan itu.

“Kita masih memerlukan seorang pertahanan tengah berpengalaman untuk digandingkan dengan beberapa pemain baru dan tiga pemain muda yang dicungkil bakat mereka dari daerah-daerah di sekitar Selangor,” ujar Satim.

Skuad merah kuning mengekalkan khidmat enam pemain senior mereka musim lalu antaranya ketua pasukan Shukor Adan, Amri Yahyah, D Surendran, P Gunalan, Razman Roslan dan Fadhil Hashim yang akan digandingkan dengan lapan pemain bawah 23 tahun.