14.10.06
Tempat Akmal belum terjamin
Oleh: Harian Metro
Biarpun dilabelkan sebagai penyerang paling berbakat pernah dilahirkan negara, tempat Akmal Rizal Ahmad Rakhli, dalam kesebelasan utama Selangor musim depan belum lagi terjamin.
Ini kerana jurulatih Selangor, Dollah Salleh, tidak memandang sejarah lampau bekas penyerang kebangsaan itu, sebaliknya hanya kehebatan di atas padang yang akan memberi kelebihan kepada pemain kelahiran Jitra, Kedah itu.
“Jika dia (Akmal Rizal) mahu beraksi dalam kesebelasan utama, dia mesti membuktikan kemampuannya terlebih dulu.
“Saya hanya memandang pemain yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada pasukan dan bukannya bersandarkan kepada namanya saja,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Persiapan skuad Merah Kuning musim depan bertambah rancak apabila berjaya mendapatkan khidmat Akmal Rizal, di samping pemain tengah kebangsaan, Fadzli Saari dan bekas penjaga gol Sabah, Mohd Anis Faron.
Mengenai risiko pengambilan Akmal Rizal yang hampir tujuh bulan tidak beraksi akibat kecederaan kronik lutut kirinya, Dollah berkata, Selangor tidak akan mendapatkan penyerang itu sekiranya dia tidak pulih tepat pada masanya.
“Kami sudah mendapatkan pandangan pegawai perubatan mengenai kecederaan yang menimpa Akmal Rizal dan dimaklumkan kecederaannya sudah pulih,” katanya.
“Bagi memastikan dia bersedia mengharungi persaingan musim depan, kami menyediakan seorang pakar untuk membantunya pulih seperti sedia kala sebelum Liga Super bermula awal Disember ini,” katanya.
Ditanya mengenai kemampuan Akmal Rizal untuk mengembalikan sentuhan berbisanya seperti musim lalu, Dollah berkata, ia terpulang kepada semangat juang penyerang itu.
“Ia memang sukar untuk beraksi pada tahap tertinggi selepas sekian lama berehat, tetapi inilah cabaran besar yang perlu dihadapinya.
“Sebagai pemain berpengalaman, saya yakin dia mampu mengharungi masalah ini dan membantu Selangor mengembalikan kegemilangan seperti dua musim lalu,” katanya.