21.10.06
Wajah baru Selangor cetus bimbang
Oleh: Harian Metro
Ramai yang berpendapat keputusan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, menggugurkan sebahagian besar pemain senior pasukan itu dan menamatkan khidmat tiga pemain importnya, termasuk penyerang kebangsaan Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy, bakal menyaksikan skuad Merah Kuning itu sebagai pasukan belasahan dalam saingan Liga Super musim depan.
Bagaimanapun, pengalaman pada musim 2005 yang menyaksikan Selangor memenangi tiga piala iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Liga Perdana, dengan kombinasi pemain baru, menerbitkan keyakinan di sanubari pengurus pasukannya, Datuk Satim Diman, bahawa skuad Merah Kuning itu berkeupayaan besar mengulangi sejarah gemilang itu.
Wajah baru skuad kendalian jurulatih, Dollah Salleh itu, memperlihatkan hanya enam pemain senior yang dikekalkan musim lalu, dengan kekurangan itu ditampung pengambilan khidmat pemain dari skuad Piala Presiden negeri itu.
Pasukan Selangor juga diperkuatkan dengan kemasukan bintang bola sepak tempatan seperti bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (gambar), pemain tengah kebangsaan, Fadzli Saari, bekas penyerang Sarawak, Sapee Sali, bekas penjaga gol Kedah, Megat Amir Faisal Ibrahim dan bekas penjaga gol Sabah, Mohd Anis Faron.
Berbekalkan pemain yang disenaraikan itu, Satim amat mengharapkan keazaman tinggi daripada mereka untuk mengulangi sejarah musim 2005 lalu.
“Ini adalah pasukan kombinasi pemain muda dan berpengalaman.
“Sebagai pemain muda yang beraksi untuk pasukan Selangor, mereka sudah pasti menampilkan semangat tinggi apabila diberi penghormatan memakai jersi Merah Kuning.
“Kita juga yakin, pemain berpengalaman dapat membimbing pemain muda ini bagi memantapkan pasukan Selangor untuk mengharungi cabaran Liga Super musim depan,” katanya kepada Arena Metro.
Katanya, sebagai pemain Selangor, mereka mempunyai tugas berat bagi memenuhi harapan penyokong setia pasukan itu yang menempuh kekecewaan dengan prestasi yang ditunjukkan musim lalu.
“Kita mesti bekerja keras untuk mengharungi cabaran yang hebat ini kerana harapan penyokong terhadap pasukan ini amat tinggi sekali.
“Mereka sudah dikecewakan musim lalu, jadi kita tidak boleh mengulangi persembahan seperti itu sebaliknya membuat perubahan besar dan tampil sebagai satu pasukan yang lebih mantap serta mempunyai daya saing yang tinggi,” katanya.
Berbekalkan kemudahan sokongan yang lebih lengkap musim ini termasuk jurulatih fizikal sepenuh masa dan penginapan serba lengkap bagi pemain, Satim begitu yakin matlamat itu dapat dicapai.
“Kali ini persiapan kita lebih lengkap dari semua segi.
“Kita mempunyai masa yang panjang untuk membentuk kombinasi pemain dan kita juga mempunyai pasukan sokongan padu yang akan memberi kekuatan tambahan kepada skuad Selangor musim depan,” katanya.