Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
02.11.06

Shukor ingin balas budi

Oleh: Berita Harian

Ibarat harapan yang berkecai seluruhnya, Shukor Adan masih dibelenggu rasa tidak percaya dengan realiti pahit yang melanda Selangor musim ini selepas tahun penuh gemilang dengan rangkulan tiga piala sebelumnya.

Lantas, dengan keazaman tinggi yang membuak-buak dalam sanubari, tonggak tengah itu bertekad membalas kepercayaan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang mengekalkan khidmatnya musim depan.

“Saya rasa tindakan FAS mengalih tumpuan dengan membentuk pasukan bertunjangkan pemain muda adalah langkah yang baik. Kami boleh belajar daripada kesilapan lalu untuk muncul dengan cabaran lebih mantap musim depan,” katanya.

Shukor, diramal bakal terus diberi kepercayaan jurulatih, Dollah Salleh, selaku kapten pasukan, juga tidak menyembunyikan rasa gembira dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘pembelian hebat’ untuk memantapkan pasukan.

"Saya gembira dan tidak sabar menantikan detik mampu berganding dengan beberapa pemain berwibawa seperti Akmal (Rizal Rakhli), Safee (Sali) dan Fadzli (Shaari).

“Pada tahap terbaik mereka, pemain seperti Akmal memang digeruni dan sentuhan penyudahnya nyata terbukti. Safee juga membuktikan dia penyerang yang perlu diberi perhatian.

“Saya juga sudah biasa bergandingan dengan Fadzli ketika kami sama-sama dalam pasukan kebangsaan. Jadi, saya tidak nampak sebarang masalah, sebaliknya yakin kami mampu menunjangi semula kebangkitan Selangor,” katanya.

Pada masa sama, Shukor juga turut berharap faktor sokongan padu yang pernah dijelmakan peminat setia Selangor ketika skuad itu unggul dengan tiga piala, dua musim lalu, mampu kembali dijelmakan.

“Kami sebagai pemain Selangor berasa amat bertuah apabila mendapat sokongan padu penyokong dalam setiap perlawanan. Saya rasa sokongan itu masih ada dan tetap padu seperti sebelumnya.

“Kerana itulah, dengan rombakan pasukan yang dilakukan, kami perlukan bantuan daripada penyokong. Kami pastinya akan berusaha sebaik mungkin dan dengan sokongan mereka, pastinya Selangor mampu menghapuskan kecewa musim lalu dengan segera,” katanya.