19.12.06
Akmal terus jadi penonton
Oleh: Harian Metro
JIKA Selangor mengumpul tiga mata penuh dalam perlawanan sulung ketika menentang Melaka tanpa kelibat penyerang Akmal Rizal Rakhli, skuad Lembah Klang itu sekali lagi menerima tamparan hebat apabila bekas pemain Kedah itu hanya turun sekadar menonton rakan mereka beraksi dalam pusingan berikutnya.
Akmal yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut dan juga Safee Sali yang menerima nasib sama membuatkan bahagian serangan digantikan pemain lain.
Akibat kecederaan kedua-dua pemain terbabit, strategi Selangor menggandingkan mereka mungkin terjejas dalam tempoh terdekat dan yang pasti ia mungkin mengambil masa agak lama jika keadaan terbabit berlarutan.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh memberitahu kecederaan Akmal itu mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk pulih.
Begitu juga katanya dengan bekas pemain Sarawak, Safee yang terpaksa berehat panjang sehingga menyebabkan bahagian serangan Selangor terpaksa bergantung kepada gandingan Amri Yahyah dan Abdul Hadi Yahya.
“Kalau dia (Akmal) turun padang pun, sekadar menjalani latihan tapi tidak dapat bermain. Kecederaan yang dialami mereka mengambil masa agak lama sekurang-kurangnya sebulan untuk pulih dan untuk perlawanan kedua menentang Telekom Melaka FC, dia juga tidak dapat diturunkan,” katanya.
Sebelum ini, tahap kecederaan Akmal menunjukkan peningkatan dari segi pemulihan antara 60 hingga 70 peratus tapi ia belum meyakinkan tahap sebenar pulih untuk membantu pasukan barunya sejak berhijrah menyarung jersi bersama skuad Merah Kuning itu.
Petikan Harian Metro 19 Disember 2006