Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
25.12.06

Dollah hargai semangat juang tinggi anak buah

Oleh: Berita Harian

Kejayaan menewaskan DPMM FC, 2-1 kelmarin melegakan jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang jelas berbangga dengan semangat juang tinggi anak buahnya ketika perlawanan itu.

 

Kemenangan ke atas kelab dari Brunei itu membolehkan Selangor kini mencatat dua kemenangan dari tiga perlawanan Liga Super yang sudah dilalui setakat ini.

 

"Saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya dalam tiga perlawanan ini dan saya juga berasa kami tidak bernasib baik ketika tewas kepada TMFC.

 

"Namun, kelekaan barisan pertahanan membolehkan DPMM mendapat gol tunggal, tetapi pemain kembali bangkit selepas itu dengan menafikan lawan mendapat gol penyamaan dan saya bangga dengan semangat juang mereka," kata Dollah.

 

Pihak pengurusan Selangor musim ini melakukan rombakan dalam pasukan apabila hanya mengekalkan enam pemain senior dari musim lalu dan sebahagian besar pemainnya adalah dari skuad Piala Presiden musim lalu yang berusia bawa 23 tahun.

 

Sementara itu, kapten pasukan Selangor, Mohd Shukor Adan berharap rakan sepasukan dapat mengekalkan tahap permainan mereka untuk mengharungi perlawanan berikut.

 

"Memang saya gembira dengan kemenangan ke atas DPMM. Tetapi, saya harap rakan sepasukan semua tidak mudah puas hati kerana perjalanan kami masih jauh dan harus melakukan persediaan terbaik untuk setiap perlawanan," katanya.

 

Dalam tiga perlawanan yang dilalui setakat ini, Shukor mempamerkan aksi permainan mantap di bahagian tengah dan sekali gus membuktikan dia masih mampu menjadi penyumbang dalam skuad kebangsaan menjelang Kejohanan Persatuan Bola Sepak Asean (AFF) dan juga Piala Asia 2007 yang turut akan dianjurkan Malaysia bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

 

Bagi Shukor, sudah pasti dia ingin kembali menyarung jersi kebangsaan selepas kali terakhir mewakili negara dalam kejohanan Piala Tiger 2004.

 

"Siapa yang tidak mahu mewakili negara, tetapi itu adalah hak jurulatih kebangsaan siapa yang hendak dipanggil. Apa yang mampu saya lakukan ialah mempamerkan aksi terbaik bersama Selangor dengan harapan pintu ke skuad kebangsaan kembali terbuka.

 

Petikan Berita Harian 25 Disember 2006