Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.12.06

Dollah puas hati aksi kelompok bawah 23 tahun

Oleh: Berita Harian

WALAUPUN pasukannya tewas kepada TMFC 2-1 dalam saingan Liga Super, malam kelmarin, jurulatih Selangor, Dollah Salleh berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang sebahagian besar adalah kelompok bawah 23 tahun.

 

Namun, bekas penyerang kebangsaan ini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadil perlawanan, R Murugan.

 

“Bagi saya pemain menunjukkan kesungguhan dan walaupun sebahagian besar pemain berusia bawah 23 tahun, mereka berjaya menyaingi TMFC yang diperkuatkan dua tonggak import.

 

“Hanya sedikit kelekaan barisan pertahanan yang memberi ruang kepada pihak lawan menjaringkan dua, tetapi tahap pengadilan malam ini (kelmarin) jelas menghampakan saya kerana dia banyak melambatkan perlawanan dengan kerap meniupkan wisel yang memberi kelebihan kepada TMFC,” kata Dollah.

 

Ketiadaan dua penyerang baru, musim ini, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Safee Sali jelas dirasai Selangor, malah penyerang muda yang menyinar musim lalu, S Sritharan turut berada dalam senarai pemain yang cedera.

 

Dollah bagaimanapun memberi pengesahan tiga penyerang terbaiknya itu dijangka dapat kembali beraksi pada bulan Februari depan dan Akmal dijangka akan terlebih dulu diturunkan kerana bekas penyerang kebangsaan itu menunjukkan kesan paling positif beransur pulih dari kecederaannya.

 

Sementara itu, jurulatih TMFC, Irfan Bakti Abu Salim berpuas hati dengan kejayaan pasukannya mengutip tiga mata berharga mengatasi Selangor.

 

“Setengah pemain baru dalam pasukan saya masih lagi menyesuaikan diri dengan corak permainan kami, tetapi saya memuji kesungguhan mereka termasuk pemain import baru, Yun Woon-Chol yang berjaya mempamerkan permainan berkualiti walaupun menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan faktor cuaca negara kita.

 

“Namun, saya berpuas hati dengan kemenangan malam ini yang bagi saya adalah satu suntikan semangat penting kepada pasukan, ” kata Irfan.

 

Petikan Berita Harian 22 Disember 2006