25.12.06
'Kami rasa tertipu'
Oleh: KOSMO
“JANGAN ubah jadual perlawanan sesuka hati, apa yang sudah ditetapkan perlu dipatuhi.”
Demikian rungutan penyokong skuad Selangor kepada wartawan KOSMO berikutan terpaksa ‘membuang’ masa selama 45 minit di dalam stadium untuk menunggu sepak mula saingan Liga Super antara Selangor dengan Brunei DPMM, malam kelmarin.
Hampir 2,000 peminat setia pasukan Selangor berasa tertipu apabila mereka yang tiba awal di Stadium Shah Alam 'kerugian' hampir 45 minit kerana perlawanan hanya bermula pada pukul 8.45 malam.
Mengikut jadual asal yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlawanan akan bermula pada pukul 8 malam tetapi ditunda kepada pukul 8.45 malam kerana aksi tersebut disiarkan secara langsung.
Ia sekali gus menyebabkan para penyokong Selangor yang sudah sampai ke stadium sebelum pukul 8 malam agak marah dan kecewa kerana mereka terpaksa keluar awal untuk ke stadium tetapi tetap pulang lewat ke rumah masing-masing akibat jadual yang diubah itu.
“FAM perlu menghebahkan sekiranya berlaku perubahan,” kata salah seorang penyokong yang sempat ditemui.
Bagi salah seorang penyokong setia, Erwan Ahmad, 29, dia terpaksa bergegas dari tempat kerja semata-mata untuk tiba di stadium berkenaan pada pukul 8 malam.
“Saya berkejar untuk ke stadium dan tak sempat singgah balik ke rumah. Tapi sampai saja ke stadium pada 8.05 malam, saya lihat pemain-pemain baru turun memanaskan badan,” katanya kepada KOSMO! semalam.
Tambahnya, FAM sepatutnya memaklumkan mana-mana perlawanan yang akan disiarkan secara langsung terlebih dahulu kerana yang menjadi mangsa keadaan adalah penonton sendiri.
“Kalau sekali berlaku tak mengapa. Kalau dah jadi banyak kali, penonton akan berasa tertipu dan malas untuk ke stadium lagi. Jadi, tak gunalah FAM ubah waktu perlawanan kepada pukul 8 malam yang dikatakan untuk memudahkan penonton ke stadium,” jelasnya dalam nada kecewa.
Seorang lagi penyokong Selangor, Firdaus Mutalib, 32, ber kata, tindakan FAM tidak menyeragamkan waktu sepak mula semua perlawanan Liga Malaysia musim ini bakal menerbitkan satu lagi kesan negatif.
“Ada perlawanan mula pukul 8 malam dan ada pula yang mula 8.45 malam. Awal-awal musim ini tak jadi masalah tapi bila dah masuk penghujung musim, ketika kedudukan liga dibezakan dengan hanya beberapa mata saja, pakatan di antara pasukan mungkin berlaku,” jelasnya.
Petikan KOSMO 25 Disember 2006