Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
27.12.06

N Sembilan 3 Selangor 1 (Liga Super)

Oleh: pippo

Selangor meneruskan rekod kurang baik di gelanggang lawan apabila tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam tadi. Walaupun mendahului menerusi jaringan P Gunalan pada minit ke 15, tuan rumah bingkas bangkit dengan jaringan Eric Muranda (m-31), Ching Hong Aik (m-41) dan Idris Karim (m-83).

 

Harian Metro 28 Disember melaporkan: Selangor menjadi mangsa pertama Negeri Sembilan-Naza apabila anak buah Hatem Soussi mempamerkan aksi kemas untuk meraih kemenangan sulung 3-1, selepas mengharungi empat perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam.

 

Biarpun pada 20 minit awal perlawanan, tuan rumah kelihatan sedang mencari rentak hingga membolehkan P Gunalan meletakkan pelawat di hadapan menerusi jaringan m-15.

 

Tersentak dengan jaringan itu, NS mula bangkit mengatur persembahan melalui beberapa serangan balas melalui tonggak import Eric Muzanda yang bergandingan dengan Mohd Aidil Zafuan selepas Liew Kit Kong tidak diturunkan.

 

Usaha mereka akhirnya berhasil apabila tendangan penjaga gol tuan rumah, Azizon Abd Kadir ke kawasan pertahanan Selangor disambut baik Muzanda untuk menewaskan penjaga gol, Megat Amir Faizal m-31.

 

Gol itu nyata menaikkan semangat pemain skuad Rusa apabila mula menggandakan asakan dan Ching Hong Aik meletakkan NS selesa 2-1.

 

Selangor yang mendapat sokongan padu kira-kira 2,500 penyokong setianya, cuba bangkit namun beberapa percubaan Amri Yahya dan Mohd Fadzli Shaari gagal menepati sasaran.

 

Begitupun barisan depan NS dilihat banyak mensia-siakan peluang dengan sekurang-kurangnya tiga kesempatan gagal dimanfaatkan.

 

Menyedari situasi itu, Hatem mengeluarkan Shahurain Abu Samah dan Hong Aik menggantikan Mohd Syamsol Sabtu dan Mohd Hafiz Syobri Omar untuk meningkatkan lagi ketajaman penyudah.

 

Idris Karim yang dilihat sentiasa bekerja keras di bahagian tengah terus menambah derita Selangor melalui jaringan ketiga m-82 untuk mendahului 3-0.

 

Selangor yang dipimpin Shukor Adan terus berusaha menambah jaringan namun tidak kesampaian hingga wisel penamat ditiupkan pengadil R Krishnan.

 

Hatem berkata dia berpuas hati dengan aksi anak buahnya apabila menunjukkan semangat juang tinggi untuk mencapai kemenangan.

 

"Bagaimanapun kemenangan malam ini tidak bermakna NS sudah berada pada landasan kejayaan, sebaliknya usaha akan ditingkatkan lagi untuk memastikan mutu permainan lebih menyerlah," katanya.

 

 

Selangor: Megat Amir Faisal, Razman Roslan, Abd Ghani Abd Rahman, Mohd Nasriq Baharom, P Gunalan, D Surendran, Fadzli Saari (Abd Hadi Yahya), Fazilidin Khalid (Safiq Rahim), Amirul Hadi Zainal (Fadhil Hashim), Shukor Adan, Amri Yahyah