28.12.06
Padah perlahan rentak
Oleh: Harian Metro
"Inilah padahnya apabila kita mengikut rentak lawan. Sepatutnya pemain menggunakan kelebihan aksi pantas tetapi sebaliknya mereka memperlahankan tempo menyebabkan pasukan lawan menggunakan kesempatan itu menewaskan kita," demikian ujar jurulatih Selangor kepada Harian Metro berikutan kekalahan 1-3 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Dollah berkata, selepas jaringan pemain tengah, P GUnalan pada m-15, Selangor sepatutnya mengasak untuk mengukuhkan kedudukan.
"Tetapi secara tiba-tiba pemain hilang tumpuan dan pemain Negeri Sembilan yang lebih berpengalaman menggunakan peluang itu menjaringkan dua gol biarpun sebelum itu kita jelas menguasai permainan.
"Pada separuh masa kedua, kita kembali mengasak tetapi gagal mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol dan kelekaan di barisan pertahanan sekali lagi menyebabkan lawan berjaya menjaringkan gol ketiga," katanya lagi.
Biarpun kecewa dengan kekalahan itu, yang kedua di tempat lawan daripada empat perlawanan, Dollah berkata, itu adalah pengajaran sebenar yang perlu dihadapi pemain mudanya.
"Mereka perlu mengingati bahawa kelebihan jaringan awal tidak semestinya menjamin kemenangan kerana pada bila-bila masa, jika hilang tumpuan, kita akan dihukum," katanya.
Petikan Harian Metro 28 Disember 2006