02.12.06
Persija 3 Selangor 0
Oleh: pippo
Selangor memulakan siri perlawanan persahabatan di Indonesia dengan langkah kekalahan apabila dijinakkan Persija Jakarta 3-0 di Stadium Sumantri Brojonegoro/Kuningan Jakarta. Berhadapan ribuan penyokong lawan yang membanjiri stadium dengan pakaian serba oren, Selangor tidak mudah gugup namun tiada gerakan berkesan dapat dihasilkan untuk mengancam kubu lawan.
Sebaliknya pasukan tuan rumah lebih banyak mencipta gerakan merbahaya namun terpaksa menunggu hingga ke penghujung babak pertama untuk menembusi gawang Selangor dengan gol jaringan Ortizan Solossa. Perlawanan separuh masa berakhir dengan keputusan 1-0.
Penyerang dari Chile Alcidio Fleitas menambah derita Merah Kuning dengan gol pada minit ke 80 sebelum Fleitas mencipta ruang buat Supaham menjaringkan gol ketiga 8 minit kemudian.
Sementara itu kehadiran bekas penyerang Selangor, Bambang Pamungkas di Stadium Kuningan turut menarik perhatian. Bambang dan seorang lagi bekas pemain Selangor, Elie Aiboy masih tidak mempunyai kelab berikutan harga kontrak mereka yang mahal.
Diberitakan kontrak kedua-dua pemain ini masing-masing bernilai 1.5 billion rupiah, nilai tertinggi di Liga Indonesia setakat ini. Sebagai perbandingan, pemain yang menerima bayaran termahal setakat ini adalah Ponaryo Astaman sebanyak 1.25 billion rupiah (Arema Malang) diikuti dengan bekas penyerang Negeri Sembilan, Christian Bekamenga sebanyak 1.1 juta rupiah (Persib Bandung).