Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
05.12.06

Previu: Selangor lawan Persib Bandung

Oleh: pippo

(Gambar Jakmania oleh Oki, Jakarta. Gambar Bobotoh dari persib.wordpress.org)

(Gambar Jakmania oleh Oki, Jakarta. Gambar Bobotoh dari persib.wordpress.org)

Jika Sabtu lalu, Selangor merasai pengalaman bermain di hadapan ribuan 'Jakmania' berpakaian serba oren, Rabu ini skuad Merah Kuning bakal bermain di hadapan satu lagi kumpulan fanatik penyokong lawan. Kali ini giliran 'Bobotoh', penyokong Persib Bandung pula bakal menguji ketahanan mental anak buah Dollah Salleh. Diberitakan, tiket bagi perlawanan persahabatan menentang Selangor di Stadium Siliwangi, Bandung yang boleh memuatkan kira-kira 20,000 penonton telah pun habis dijual sehari sebelum perlawanan bermula.

 

Perlawanan dijangka bermula pada pukul 3.30 petang WBI (Waktu Barat Indonesia) iaitu kira-kira pukul 4.30 petang waktu Malaysia. Bagi perlawanan yang menarik perhatian penduduk tempatan ini, Persib mencetak 19,000 keping tiket dan memperuntukkan 1,200 polis dan pengawal keselamatan bagi mengawasi kelancaran perlawanan.

 

Persib akan turun tanpa penyerang Zaenal Arif dan pemain midfield Eka Ramdani yang menyertai latihan skuad kebangsaan Indonesia bagi menghadapi Piala AFF 2007. Ketiadaan Zaenal bagaimanapun bakal ditampung bekas penyerang Negeri Sembilan, Christian Bekamenga, Redouane Barkaoui dan Dicky Firasat. Di antara ketiga-tiga mereka, Bekamenga dilihat paling selesa berikutan prestasi cemerlang menjaringkan empat gol ketika Persib membenam Bumi Panyileukan (Bupa) 11-0 Sabtu lalu. Posisi Eka pula berkemungkinan diisi Cucu Hidayat atau Yaris Riyadi.

 

Jurulatih Persib Bandung yang berasal dari Moldova, Iurie Anatolievici pastinya mengharapkan anak buahnya meneruskan rekod bersih perlawanan pra musim manakala Dollah Salleh mahukan anak buahnya mencipta kejutan setelah tewas dua perlawanan berturut-turut sejak tiba di Indonesia Jumaat lalu.