Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.12.06

Selangor 1 Melaka 0 (Liga Super)

Oleh: pippo

Barisan muda Selangor memulakan aksi Liga Super 2006/2007 dengan menewaskan Melaka 1-0 di Stadium Shah Alam malam tadi. Gol tunggal pasukan tuan rumah yang menurunkan enam muka baru dijaringkan oleh Amri Yahyah pada minit ke 76. Perlawanan yang bermula pada pukul 8 malam itu turut menyaksikan Melaka bermain hampir keseluruhan babak kedua dengan 10 pemain setelah Zami Mohd Noor dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Berita Harian 17 Disember melaporkan: IGAUAN musim buruk 2005/06, nekad dilenyapkan Selangor yang meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas barisan 10 pemain pendatang baru Liga Super, Melaka di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Jelas kemenangan seharusnya berpihak Selangor yang tetap bersandarkan lima pemain daripada skuad musim lalu, kerana lebih banyak menguasai saingan berbanding Melaka namun ketumpulan barisan penyerang menjelmakan kejayaan lebih selesa.

Ketiadaan penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Safee Sali dan bintang meningkat naik, S Sritharan jelas menjejaskan barisan depan skuad Merah Kuning yang ditunjangi Amri Yahyah dan pemain muda, Abdul Hadi Yahya.

Namun, tuan rumah bimbingan Dollah Salleh seharusnya tidak mensia-siakan dua peluang terbaik untuk membuka jaringan. Pertama pada minit kesembilan menerusi penyerang muda, Abdul Hadi yang menerima umpanan lintang daripada Mohd Razman Roslan tetapi hanya menyaksikan rembatannya ditepis keluar penjaga gol lawan, Kamarulzaman Hassan. Selang 21 minit kemudian, D Surendran melakukan sepakan lambung jauh cantik dari kiri sayap, namun sekali lagi Kamarulzaman bertindak cemerlang dengan menolak keluar.

Pelawat cuba bertindak balas dengan menyerang menggunakan taktik umpanan jauh, namun serangan mereka sering digagalkan barisan pertahanan. Barisan wajah baru Selangor menguasai hampir keseluruhan permainan namun gerakan penyudah tumpul menyaksikan mereka hampir terpaksa berputih mata sungguh pun lawan mengalami kepincangan seorang pemain selepas kapten, Zami Mohd Noor dibuang padang atas kad kuning kedua atas terjahan kasar ke atas pembelian baru tuan rumah, Fadzli Saari, minit ke-55.

Separuh masa pertama menyaksikan Zami dilayangkan kad kuning pertama kerana mengasari pemain sama yang berhijrah dari Pahang pada minit ke-32. Ekoran itu, anak buah K Devan lebih banyak berkampung di kubu sendiri, sekurang-kurangnya bagi membawa pulang satu mata.

Namun hasrat itu berkecai selepas bakal menantu pengurus Selangor, Datuk Satim Diman, Amri Yahyah menceriakan kira-kira 2,000 penyokong setia apabila menyumbat gol kemenangan dengan menanduk masuk sepakan penjuru D Surendran pada minit ke-76.

Utusan Malaysia 17 Disember melaporkan: Di Stadium Shah Alam, tanpa bintang import Selangor berupaya mencipta kemenangan sulung apabila menewaskan Melaka 1-0.

Gol tunggal jaringan bekas pemain kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-76 sudah cukup memastikan skuad Merah Kuning mengutip tiga mata berharga.

Bernama 17 Disember melaporkan: Selangor pula memulakan saingan Liga Super 2006/2007 dengan menumpaskan Melaka 1-0 di Stadium Shah Alam.

Selepas separuh masa pertama berakhir 0-0, Selangor mengatur semula strategi permainan dan pada minit ke-57, Melaka terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah ketua pasukan Zami Md Nor dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil Noor Azman Nordin akibat mengasari pemain Selangor, Mohd Fadzli Saari.

Selangor mengambil kesempatan itu untuk mencipta jaringan tunggal perlawanan menerusi pemain senior, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-76.

Kad Kuning Selangor: Shukor Adan, Amirul Hadi Zainal, D Surendran

Barisan pemain: 1 Megat Amir Faisal, 3 Razman Roslan, 16 Abdul Ghani Abdul Rahman, 30 Mohd Nasriq Baharom, 15 P Gunalan, 11 Razlan Joffri Ali (27 Amirul Hadi Zainal), 19 D Surendran (4 Fadhil Hashim), 20 Fadzli Shaari, 25 Shukor Adan, 9 Abdul Hadi Yahya (8 Fazilidin Khalid), 17 Amri Yahyah