Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.12.06

Selangor 2 DPMM FC 1 (Liga Super)

Oleh: pippo

Gol pada setiap separuh masa oleh Shukor Adan dan Fadzli Shaari sudah cukup untuk Selangor membawa pulang 3 mata hasil kemenangan 2-1 ke atas DPMM FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi. Kemenangan ini membolehkan Selangor menghuni tangga kedua liga hasil 2 kemenangan dari 3 perlawanan.

 

Selangor turun dengan kesebelasan yang sama dengan perlawanan menentang TMFC Rabu lalu kecuali D Surendran yang mengambil tempat Fadhil Hashim di posisi sayap kiri.

 

Berita Harian 24 Disember melaporkan: Juara Piala Malaysia 2005, Selangor mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Shah Alam musim ini apabila berjaya menewaskan DPMM FC, 2-1 malam tadi.

 

Tuan rumah jelas berjaya menguasai sebahagian besar tempoh perlawanan pada babak pertama menerusi beberapa gerakan berbahaya untuk mendapatkan cengkaman awal bagi merakamkan kemenangan kedua selepas tiga perlawanan.

 

Peluang pertama Gergasi Merah hadir seawal minit ke-11 menerusi pemain sayap muda Amirul Hadi Zainal, namun rembatan anak bekas pemain Selangor, Zainal Nordin itu terus ke dakapan penjaga gol DPMM FC, Wardun Yusof.

 

Pasukan tuan rumah kemudian menggandakan asakan dan pada minit ke-16, D Surendran hampir menanduk masuk gol pembukaan Selangor hasil hantaran silang P Gunalan, namun tandukannya terus ke dakapan penjaga gol.

 

Penyerang Selangor, Mohd Amri Yahyah mensia-siakan peluang terbuka menjaringkan gol pada minit ke-30 apabila gagal melakukan sepakan tepat ke gawang pasukan pelawat.

 

Ketua pasukan Selangor, Mohd Shukor Adan akhirnya menamatkan penantian gol pada minit ke-41 apabila melakukan rembatan ala Steven Gerrard dari hujung kotak penalti yang menerjah jaring Brunei intuk gol pendahuluan tuan rumah.

 

Babak kedua menyaksikan Selangor terus menggandakan asakan dengan Shukor meneruskan penguasaan di bahagian tengah yang menenggelamkan aksi pemain import pasukan Brunei dari Jepun, Ito Dan.

 

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh kemudian melakukan pertukaran taktikal apabila memasukkan Fazilidin Khalid menggantikan Abdul Hadi Yahya, dan tempat penyerang muda itu pula digantikan Mohd Fadzli Shaari.

 

Tindakan itu membuahkan hasil apabila Fadzli berjaya menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-64 hasil hantaran silang Amirul. Gol tersebut juga adalah gol pertama pemain tengah kebangsaan itu sejak berhijrah dari Pahang musim ini

 

Kad Kuning Selangor: Abdul Ghani Rahman

 

Selangor: 1 Megat Amir Faisal, 3 Razman Roslan, 16 Abdul Ghani Abdul Rahman, 30 Mohd Nasriq Baharom (6 Mohd Fadzirul Zakaria), 15 P Gunalan, 27 Amirul Hadi Zainal, 19 D Surendran, 20 Fadzli Shaari, 25 Shukor Adan, 9 Abdul Hadi Yahya (8 Fazilidin Khalid), 17 Amri Yahyah