18.12.06
Selangor belum meyakinkan
Oleh: Berita Harian
Dollah akui perlukan masa mantapkan skuad Merah Kuning. TIGA mata penuh yang diperoleh kelmarin memastikan Selangor memulakan kempen baru Liga Super dengan langkah kanan, tetapi jelas masih banyak kepincangan yang perlu mereka atasi sebelum mampu berangan-angan untuk menebus kehampaan musim lalu.
Gabungan pemain muda dan beberapa senior yang dikekalkan dari musim lalu untuk membentuk wajah baru skuad Merah Kuning musim ini, jelas belum berupaya menampilkan kejituan aksi apabila walaupun menguasai permainan, hanya mampu menewaskan Melaka 1-0, itupun selepas lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Mengambil kira persiapan Melaka yang kurang mantap - hanya membentuk skuad tiga minggu lalu - kemenangan tipis itu membuktikan Selangor perlu menggandakan lagi usaha untuk melaksanakan misi perjuangan mereka.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh sendiri mengakui skuadnya masih memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk membantu mereka meningkat, namun berpuas hati dengan corak persembahan anak buahnya yang disifatkannya memberi komitmen seratus peratus.
“Banyak peluang dicipta, cuma penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha menambah jaringan,” katanya yang belum mampu menurunkan dua penyerang utama, Akmal Rizal Rakhli dan Safee Sali yang masih cedera.
Selangor memastikan tiga mata penuh menerusi gol tunggal Amri Yahyah pada minit ke-76 selepas menanduk masuk sepakan sudut D Surendran tatkala Melaka beraksi dengan 10 pemain selepas kaptennya, Zami Mohd Nor dibuang padang pada minit ke-55 kerana menerima kad kuning kedua.
Jurulatih Melaka, K Devan berkata, kehilangan Zami menjejaskan rentak pasukannya dan memaksa mereka lebih banyak bertahan yang akhirnya membenarkan Selangor menjaringkan gol.
“Kekurangan seorang pemain nyata sukar untuk kami menandingi Selangor. Apapun dengan mengharungi lebih banyak perlawanan selepas ini serta program latihan yang lebih sistematik, saya yakin Melaka mampu memperbaiki persembahan,” katanya yang mula melatih skuad itu, 21 November lalu.
Petikan Berita Harian 18 November 2006