23.12.06
Shukor ingin rakan kekal rentak
Oleh: Berita Harian
MENJELANG pertemuan Liga Super dengan DPMM Brunei di Stadium Shah Alam, malam ini, kapten Selangor, Mohd Shukor Adan mengharapkan rakan sepasukan mengekalkan corak permainan yang sama ketika bertemu TMFC, Rabu lalu.
Walaupun tewas 1-2 dalam perlawanan itu, Selangor yang membariskan sebahagian besar pemain bawah 23 tahun musim ini berjaya menyaingi lawan yang diperkuatkan dengan dua tonggak import.
“Sebagai ketua pasukan, saya bangga melihat semangat juang yang dipamerkan pemain muda musim ini.
“Memang sebagai pemain muda mereka mempunyai kelemahan, tetapi saya yakin mereka akan meningkat dari perlawanan demi perlawanan yang dilalui musim ini.
“Sebahagian besar pemain muda ini beraksi buat kali pertama dalam Liga Super, liga tertinggi dalam bola sepak tempatan dan sudah pasti mereka memerlukan masa dan saya mengharapkan penyokong setia Selangor akan terus memberi sokongan kepada kami kerana pemain muda musim ini amat memerlukan sokongan moral peminat, ” kata pemain kelahiran Melaka ini.
Shukor turut mengakui beraksi tanpa kelibat pemain import adalah satu cabaran namun, baginya ia bukan bererti Selangor tidak mampu memberi cabaran dengan barisan pemain muda.
“Satu keunikan skuad Selangor musim ini ialah sebahagian besar pemain dalam pasukan terdiri dari anak jati negeri Selangor dan mereka bermain dengan semangat kenegerian yang tinggi.
“Bagi saya apabila sebuah pasukan bermain dengan semangat kenegerian yang tinggi, bukan mudah untuk menewaskan pasukan itu, ” katanya.
Bagaimanapun, Shukor mengakui barisan serangan Selangor dalam dua perlawanan pertama terlalu bergantung kepada Muhd Amri Yahya untuk menjaringkan gol berikutan dua belian baru Selangor - Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Safee Sali - masih menjalani rawatan kecederaan dan hanya dijangka beraksi pada bulan Febuari depan.
“Untuk meringankan beban Amri, setiap pemain termasuk saya dan Fadzli Shaari di bahagian tengah juga harus menajamkan lagi tindakan penyudah dalam usaha memburu gol sementara ketiadaan Akmal dan Safee,” kata bekas pemain Negeri Sembilan ini.
Petikan Berita Harian 23 Disember 2006