Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
10.01.07

Bisa orang muda

Oleh: Harian Metro

Harian Metro 10 Januari melaporkan: Ramai beranggapan bahawa skuad Selangor yang dibarisi lebih separuh daripada pemain berusia 20 tahun akan menjadi pasukan belasahan dalam Liga Super musim ini.

 

Tetapi tiga kemenangan daripada enam perlawanan yang dicatatkan setakat ini, menghakis tanggapan itu, sebaliknya pasukan muda bimbingan jurulatih, Dollah Salleh, memperlihatkan kemampuan mereka sebagai salah satu pencabar yang disegani dalam saingan Liga Super musim ini.

 

Penolong pengurus, Datuk Subahan Kamal berkata mereka tidak menjangkakan skuad muda Selangor mampu memberi saingan seperti diperlihatkan ketika ini.

 

"Kami hanya mengharapkan supaya mereka mampu memberi saingan dalam setiap perlawanan Liga Super menentang pasukan yang lebih berpengalaman dan dibarisi pemain import.

 

"Tetapi, nampaknya harapan kami itu bukan saja dipenuhi pemain apabila mereka menampilkan aksi meyakinkan, tetapi mereka berjaya mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan setakat ini," katanya.

 

Subahan berkata, tiga kemenangan itu sebenarnya membawa pengertian yang besar terhadap langkah Presiden FAS, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, merombak pasukan itu musim lalu dengan penampilan 70 peratus pemain muda.

 

"Langkah berani ini dibayar kembali pemain Selangor yang menampilkan semangat tinggi dalam setiap persaingan dan ini sebenarnya begitu menggembirakan kami termasuk presiden sendiri.

 

"Pasukan musim ini amat berbeza sekali kerana biarpun rata-rata pemain masih muda, aksi mereka di atas padang begitu matang dan tidak mustahil misi tiga tahun bagi mencipta kejayaan lebih besar yang ditetapkan pengurusan, dapat dihasilkan lebih cepat," katanya.

 

Rahsia kejayaan itu, kata Subahan, ialah kesediaan pemain sendiri untuk berubah dan belajar hasil kesilapan bagi menghasilkan kejayaan.

 

"Ini yang kami mahukan daripada setiap pemain iaitu sanggup berubah daripada seorang pemain yang tidak pernah bersaing dalam liga mencabar seperti Liga Super ini, kepada pemain matang dan sanggup berdepan rintangan," katanya.

 

Dalam persediaan menghadapi cabaran Perak malam ini, kata Subahan, ia akan menjadi satu lagi cabaran kepada skuad muda Selangor untuk meraih kemenangan kali keempat di depan penyokong sendiri.

 

"Kita menyedari Perak satu pasukan mantap tetapi saya yakin dengan kesungguhan pemain muda kita, halangan ini pasti dapat diatasi dengan kejayaan," katanya.