10.01.07
Cabaran getir barisan muda Selangor
Oleh: Berita Harian
Berita Harian 10 Januari melaporkan: Pertemuan menentang Perak dalam saingan Liga Super, malam ini bakal memberi cabaran getir kepada barisan muda Selangor, namun pemain pertahanan skuad Merah Kuning, Abdul Ghani Abdul Rahman menyuarakan rasa yakin mampu menyekat pasukan pelawat di Stadium Shah Alam, malam ini.
Kedua-dua pasukan itu pernah bertemu dalam satu perlawanan persahabatan sebelum saingan musim ini yang menyaksikan Perak menang 4-0 tetapi Ghani menekankan keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan terkini Selangor.
"Kebanyakan pemain muda kami ketika itu baru pertama kali beraksi menentang pasukan dari Liga Super tetapi selepas mengharungi beberapa perlawanan musim ini semua pemain semakin yakin. Saya pasti kami mampu menyaingi Perak.
"Beraksi di Stadium Shah Alam sudah pasti meningkatkan moral rakan sepasukan kerana kami mahu mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri dan beraksi tanpa pemain import musim ini bukan penghalang untuk kami mencatat kejayaan," kata Ghani yang juga pelajar tahun dua, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan pentadbiran perniagaan.
Pemain berusia 20 tahun ini pernah dipinjamkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ke kelab MK Land Selangor pada musim 2005. Bagi Ghani peluang beraksi dalam kesebelasan utama kelab itu dalam saingan Liga Perdana banyak membantunya.
Walaupun terpaksa membahagikan masa di antara kuliah dan bola sepak, Ghani tidak menganggap ia sebagai beban malah pemain ini bercita-cita mencapai kejayaan dalam bola sepak dan juga pelajaran.
"Bagi saya ia bergantung kepad cara seseorang itu membahagikan masanya dan pelajaran adalah penting kerana ia adalah sebagai penjamin selepas menamatkan karier bola sepak," katanya.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh pula menyifatkan pemain kelahiran Cheras itu sebagai mutiara dalam pasukannya yang bakal menyinar sedikit masa lagi.
"Ghani adalah seorang pemain pertahanan yang mantap, dia turut membentuk gandingan baik bersama Nasriq (Bahrom) di bahagian pertahanan dan saya meramalkan mereka mampu menjadi tonggak skuad kebangsaan sedikit masa lagi," katanya.
Sementara itu, Dollah turut mengakui akan melakukan perubahan formasi apabila berdepan Perak, malam ini.
"Kemungkinan besar kami akan turun dengan 3-5-2. Saya rasa pada masa kini ia adalah formasi terbaik bagi mengisi ketiadaan Shukor (Adan) dan Safiq (Rahim) di barisan tengah," kata Dollah.
Dollah juga tidak menolak kemungkinan menurunkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dalam kesebelasan utama walaupun bekas penyerang utama kebangsaan itu belum mencapai tahap kecergasan terbaik selepas baru pulih dari kecederaan lututnya.
Petikan Berita Harian 10 Januari 2007