Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
10.01.07

Selangor 2 Perak 4 (Liga Super)

 

Rekod tanpa kalah Selangor di gelanggang sendiri lebur di tangan Perak dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi. Bermain dengan 9 orang pemain apabila dua pemainnya dilayangkan kad merah masing-masing pada penghujung babak pertama dan awal babak kedua, Selangor tidak mempunyai peluang untuk menyaingi barisan berpengalaman Perak. Selangor tewas 2-4. Berikut rangkuman ulasan akhbar-akhbar tempatan.

Bernama melaporkan: Di Stadium Shah Alam, permata hitam Perak, Keita Mandjou menjadi wira pasukan Seladang bila menjaringkan tiga gol untuk membenam Selangor 4-2.

Keita membuka jaringan seawal minit ke-enam melalui tandukannya namun tuan rumah menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi Mohd Razman Roslan.

Danial Fadzly Abdullah menjaringkan gol kedua Perak pada minit ke-10 sebelum Keita menjaringkan gol ketiga pada minit ke-27.

Selangor bertambah parah bila penjaga golnya Mohd Anis Faron dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan R.Surendran dan Keita sekali lagi menjaringkan gol ke-empat bagi pasukannya pada minit ke-43.

Walaupun bermain sembilan orang pada separuh masa kedua setelah Mohd Fadrizul Zakaria dilayangkan kad merah pada minit ke-50, Selangor berjaya menambah jaringan pada minit ke-81 melalui Mohd Amri Yahyah.

Utusan Malaysia melaporkan: Di Stadium Shah Alam, beraksi tanpa ketua pasukan Shukor Adan dan Fadzli Saari, Selangor ternyata longlai apabila mudah dibelasah Perak 4-2 dengan penyerang pasukan pelawat, Keita Mandjou mencipta jaringan hatrik.

Mandjou mencipta jaringan hatrik pada minit ke-7, 28 dan 42 selain disusuli jaringan Danial Fadzly (m-11) manakala gol saguhati Selangor dijaringkan Razman Roslan (m-10) dan Mohd. Amri Yahyah (m-81).

Kamarulzaman Pid (Harian Metro) melaporkan: Penyerang Perak, Keita Mandjou, memberi pengajaran berguna kepada barisan skuad muda Selangor apabila dalam tempoh hanya 45 minit separuh masa pertama, dia menjaringkan hatrik bagi membantu Perak menang besar 4-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Pemain dari benua Afrika itu mencetuskan keributan di depan gawang Selangor sepanjang babak pertama dengan jurulatih Selangor, Dollah Salleh, mengakui skuad mudanya gagal memberi tumpuan penuh sepanjang 45 minit permainan di babak pertama.

"Apabila mereka sudah ketinggalan 1-4, baru mereka tau tugas masing-masing.

"Hilang tumpuan dan sikap leka dengan jaringan penyamaan, menyebabkan pemain Perak yang lebih berpengalaman mengambil kesempatan ini.

"Inilah akibatnya apabila berlaku banyak salah faham," katanya selepas perlawanan itu.

Mengenai dua pemainnya yang dibuang padang, Dollah tetap menerimanya dengan tenang.

"Itu adalah keputusan pengadil dan saya harus menerimanya.

"Memang dalam peraturan Mohd Anis Faron perlu dikenakan kad merah, tetapi ia juga atas pertimbangan pengadil sendiri," katanya.

Bagaimanapun dia tetap bangga dengan pemainnya kerana biarpun beraksi dengan sembilan pemain hampir 40 minit di babak kedua, mereka tetap melawan dan berjaya menjaringkan satu gol lagi.

Mandjou menggegarkan gawang Selangor seawal m-6, dan jaringan itu menggegarkan Stadium Shah Alam dengan kehadiran kira-kira 10,000 penonton dengan separuh daripadanya penyokong setia skuad Seladang itu.

Tetapi pemain tengah tuan rumah, Razman Roslan menamatkan sorakan bersemangat penyokong skuad Seladang menerusi jaringan m-10, untuk kedudukan 1-1.

Tetapi kegembiraan penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila pemain tengah Perak, Danial Fadzly Abdullah, pula yang berjaya menembusi gawang Selangor, seminit kemudian untuk kedudukan 2-1.

Mandjou menambah derita Selangor menerusi jaringan kedua dan ketiga bagi pasukannya pada m-27.

Derita skuad Merah Kuning itu berterusan apabila penjaga golnya, Mohd Anis Faron, menjatuhkan penyerang Perak, R Surendran, dalam kotak penalti pada m-42 dan akibatnya, dia dilayangkan kad merah oleh pengadil, Shokri Nor.

Megat Amir Faisal yang mengambil alih tugas Mohd Anis Faron, gagal menyelamatkan gawang Selangor yang bocor buat kali keempat apabila Mandjou dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti bagi mencatat hatrik pertamanya musim ini pada m-43.

Apabila babak kedua disambung selepas itu, penyokong tuan rumah sekali lagi tersentak apabila pertahanan tengah, Abdul Ghani Abdul Rahman, dilayangkan kad merah akibat kesalahan kali kedua, meninggalkan sisa perjuangan Selangor diteruskan sembilan pemain.

Perak yang selesa dengan kedudukan 4-1 itu tidak menggunakan peluang itu sepenuhnya apabila memperlahankan rentak permainan dan kesempatan itu digunakan Selangor untuk merapatkan kedudukan apabila sepakan gunting Amri Yahyah pada m-82, menewaskan Mohd Nasril Nourdin.

Biarpun membuat pertukaran termasuk mengeluarkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang digantikan Mohd Fazilidin Khalid, Selangor gagal menyelamatkan maruah mereka di tempat sendiri apabila tumbang 2-4 kepada Perak.

Lukman Salleh (Berita Harian) melaporkan: PERAK akhirnya menamatkan kemarau kemenangan selepas lima perlawanan Liga Super dan ia dilakukan dengan penuh bergaya apabila mengaibkan Selangor 4-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Hatrik Keita Mandjou membantu Perak melakarkan hanya kemenangan kedua dalam liga selepas kejayaan pada aksi pembuka tirai menentang Sarawak, 16 Disember lalu, sekali gus menghukum Selangor yang menamatkan aksi dengan hanya sembilan pemain.

Malam tadi, Perak bingkas menampilkan aksi penuh bertenaga. Dengan kapten, Ahmad Shahrul Azhar, mengemudi kemas bahagian tengah, mereka tidak menunggu lama untuk merobek gawang Selangor.

Seawal minit ketujuh, hasil sepakan percuma Ahmad Shahrul, Keita Mandjou melonjak tinggi untuk menanduk deras melepasi jangkauan penjaga gawang Selangor, Anis Faron Arsidi.

Tersentak, Selangor mula mengasak benteng lawan dan kealpaan pertahanan pelawat membolehkan Razman Roslan meloloskan diri daripada perangkap ofsaid sebelum memperdaya Nasril Nourdin bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-10.

Tetapi selepas itu, ia laluan sehala - semuanya ke arah gawang Selangor apabila hanya seminit kemudian, Daniel Fadzly kembali meletakkan Perak di depan apabila melakukan voli dari luar petak penalti yang sama sekali menewaskan Anis.

Tekanan semakin memuncak dan benteng Selangor bocor lagi pada minit ke-28. Kali ini Mandjou menanduk masuk selepas rembatan pertamanya ditampan Anis.

Sengsara Selangor pada separuh masa pertama bertambah apabila Anis dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan R Surendren dalam situasi satu lawan satu. Mandjou mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Perak selesa 4-1 pada minit ke-42.

Memulakan babak kedua dengan 10 pemain jelas menyukarkan Selangor untuk menghasilkan gerak berbahaya ke gawang Perak. Derita mereka bertambah apabila pada minit ke-50, pertahanannya, Abdul Ghani Rahman dilayangkan kad kuning kedua kerana terjahan dari belakang terhadap Mandjou.

Kelebihan dua pemain membuka ruang buat Perak untuk kenduri gol, tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana jentera serangannya mensia-siakkan banyak peluang terhidang.

Sebaliknya Selangor, walaupun diulit keletihan, berhasil menembusi gawang Perak melalui sepakan gunting cantik Amri Yahyah pada minit ke-82. Ia menyuntik semangat melawan mereka, tetapi terlambat untuk mengelak Merah Kuning ditimpa kekalahan kedua berturut-turut.