03.01.07
Selangor 2 Sarawak 1
Oleh: pippo

Selangor berjaya mengutip tiga mata berharga di gelanggang sendiri apabila menewaskan Sarawak 2-1 walaupun turun tanpa tiga pemain tengah yang menjalani latihan skuad kebangsaan. Gol-gol Selangor dijaringkan Razman Roslan pada m-55 dan Amri Yahya m-83. Gol tunggal Sarawak dijaringkan Zamri Murshidi pada m-63. Perlawanan ini turut menyaksikan penampilan sulung Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Asrarudin Putra Omar sebagai pemain gantian di separuh masa kedua.
BERNAMA 3 JANUARI 2007 melaporkan: Selangor berjaya memugut tiga mata penuh apabila menewaskan Sarawak 2-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam di sini hari Rabu setelah kedudukan separuh masa pertama terikat 0-0.
Babak pertama menyaksikan Selangor mensia-siakan dua peluang menjaringkan gol pada minit ke-5 apabila sepakan Abdul Hadi Yahya tepat ke dakapan penjaga gol Sarawak Mohamad Firdaus Ishak manakala pada minit ke-7 percubaan Mohd Razman Roslan sedikit melewati tiang gol.
Selangor membuka tirai jaringan apabila tendangan Mohd Razman Roslan yang mendapat bola hantaran D. Surendran, menerjah jaring pada minit ke-55.
Sarawak mula menggandakan asakan hingga menyamakan kedudukan pada minit ke-63 hasil jaringan bola leret Zambri Morshidi.
Namun nasib menyebelahi Selangor apabila Mohd Amri Yahyah menanduk masuk gol kemenangan tujuh minit sebelum wisel penamat.
BERITA HARIAN 4 JANUARI 2007 melaporkan: AMRI Yahyah menjadi julangan Selangor apabila jaringan lewatnya lapan minit sebelum tamat memastikan kemenangan 2-1 untuk barisan Gergasi Merah yang berjaya menewaskan Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Namun, ia tidak kelihatan keputusan akan berakhir begitu sahaja dengan babak pertama hanya dua percubaan pada babak pertama yang benar-benar mengucar-kacirkan pasukan pelawat itu.
Sepakan sudut lencong D Surendran mencemaskan pertahanan pelawat, namun ia berjaya dikeluarkan pertahanan pada minit keempat buat melegakan penyokong tuan rumah yang hadir mengharapkan mata penuh dapat diraih.
Selang seminit kemudian, rembatan Mohd Razman Roslan dari jarak dekat hanya sedikit melepasi palang.
Ketiadaan kapten pasukan, Shukor Adan dan Fadzli Saari yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan jelas merencatkan bisa skuad Merah Kuning.
Bujang Senang pula yang diketuai oleh Robert Eshun dari Ghana juga kurang menyengat untuk memburu gol dan tidak banyak nampak berbahaya ketika gempuran mereka lebih kerap terputus-putus.
Namun, seminit sebelum tamat, kegugupan penjaga gawang Selangor, Anis Faron yang diturunkan buat pertama kali musim ini, hampir membawa padah apabila sepakan golnya yang kurang kemas disambar Zulmizan Bujang yang meletuskan rembatan dalam kotak penalti dari 35 meter, namun Anis yang tiba dari Sabah berjaya mengelakkan aib dengan menyelamatkan percubaan itu.
Kemasukan Akmal Rizal Rakhli yang membuat kemunculan pertamanya buat Selangor, menggantikan Abdul Hadi pada minit ke-76 menghadirkan kegembiraan buat Gergasi Merah.
Apapun, penyerang baru dari Kedah itu masih meniti langkah awal menemui tahap kecergasan penuh dalam perlawanan ini
Gol yang dicari Selangor akhirnya tiba 10 minit selepas rehat menerusi sepakan percuma Surendran hasil voli rendah Razman Roslan ke penjuru gawang Sarawak dengan penjaga gol, Mohd Firdaus Ishak tertewas.
Anak buah Pengiran Bala tidak putus asa dan menemui jaringan penyamaan hasil lontaran dalam Irwandy Jempaka yang terus sampai ke Zamri Morshidi yang melepaskan rembatan minit ke-63.
Amri kemudian memastikan mata penuh apabila menanduk masuk sepakan percuma pengganti kapten, Surendran yang terkena tiang terlebih dulu, lapan minit sebelum tamat.
HARIAN METRO 4 JANUARI 2007 melaporkan: Perangkap Selangor yang menurunkankan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, pada 14 minit terakhir perlawanan berjaya memerangkap Sarawak untuk mencatatkan kemenangan ketiga dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.
Ketika kedudukan terikat 1-1, jurulatih Selangor, Dollah Salleh, mengambil langkah bijak apabila memasukkan bekas penyerang Kedah itu menggantikan penyerang muda, Abdul Hadi Yahya, biarpun menyedari Akmal Rizal tidak cergas sepenuhnya.
Tindakan itu berjaya membebaskan penyerang utama Selangor, Amri Yahyah daripada kekangan pertahanan lawan.
Kelebihan itu digunakan Amri yang berjaya menanduk masuk gol kemenangan pada m-82 bagi memastikan 2-1.
Dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 1,000 penonton itu, Selangor mendahului pada m-55, menerusi voli cantik pemain tengah, Razman Roslan, hasil sepakan sudut kapten pasukan, D Surendran.
Bagaimanapun, Sarawak berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas lontaran ke dalam kawasan penalti yang dilakukan Irwandy Jampaka disambut Zamri Morshidi merembat rendah menewaskan Mohd Anis Faron.
Kemenangan itu amat berbaloi sekali apabila Dollah terpaksa merombak kesebelasan utamanya selepas kehilangan Shukor Adan, Safiq Rahim dan Fadzli Saari serta penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein, yang dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan.
"Ketika kedudukan 1-1, kita berada dalam keadaan terdesak dan kerana itu saya mencuba nasib dengan memasukkan Akmal Rizal walaupun dia tidak cergas sepenuhnya.
"Namun, dengan kemampuan yang ada padanya, kita mendapat sedikit kelebihan dan berjaya menggunakan peluang itu sepenuhnya," katanya selepas perlawanan malam tadi.
Sementara itu, Akmal Rizal nyata gembira dengan kemenangan itu biarpun pergerakannya agak terbatas selepas baru sembuh daripada kecederaan lutut kiri yang kronik.
"Ini adalah perlawanan pertama saya dalam tempoh tujuh bulan dan tiga mata berharga ini memberi semangat kepada saya untuk terus menyumbang kepada pasukan Selangor," katanya.
Biarpun menjangka mampu beraksi sepenuhnya dalam tempoh seminggu dua lagi, Akmal Rizal menyedari peluangnya beraksi dalam kesebelasan utama belum terjamin.
"Gandingan Amri Yahyah dan Abdul Hadi Yahya tampak semakin bagus dan apa yang perlu saya lakukan ialah menampilkan aksi terbaik dalam latihan bagi memikat hati jurulatih, Dollah Salleh," katanya.