Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
12.02.07

Bekalan terbaik Dollah jumpa Kedah

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis , Berita Harian

KEMENANGAN 2-0 ke atas Johor-Pasir Gudang dalam saingan Piala Malaysia kelmarin adalah bekalan terbaik buat Selangor menjelang pertemuan dengan Kedah dalam kempen Liga Super, Rabu ini, kata jurulatih skuad Merah Kuning, Dollah Saleh.

Katanya, kejayaan itu mampu mengembalikan keyakinan buat pemain untuk bangkit semula dalam Liga Super selepas hanya menduduki tangga kelapan dengan sembilan mata, tiga mata di belakang Kedah yang berada di tempat kelima.

“Sudah pasti kami memerlukan keyakinan sebelum bertemu Kedah, dan saya percaya kemenangan semalam adalah bekalan terbaik sebelum pertemuan itu.

“Tetapi saya akui Kedah sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan, namun tidak mustahil sekiranya semua pemain memberikan komitmen terbaik dalam perlawanan itu nanti,“ katanya.

Sementara itu, Dollah mengakui kehadiran tiga tonggak dari skuad kebangsaan, Shukor Adan, Fadzli Shaari dan juga Safiq Rahim banyak membantu kemenangan Selangor ke atas Johor-Pasir Gudang.

“Kehadiran mereka memang menguatkan pasukan, Shukor adalah seorang ketua pasukan yang mampu membimbing rakan muda yang lain, Fadzli seorang pemain tengah berpengalaman dan serba boleh manakala Safiq ialah pemain muda berbakat besar, ” kata Dollah.

Bagi Fadzli, walaupun gembira dengan dua jaringannya kelmarin, dia menegaskan kemenangan adalah hasil kerjasama sepasukan.

“Kami bermain sebagai satu pasukan, dan saya lebih mengutamakan kemenangan sebagai satu pasukan darpadai mengejar jumlah jaringan peribadi,“ kata Fadzli yang beraksi dalam musim pertama bersama Selangor selepas berhijrah dari Pahang musim ini.

Fadzli yang beraksi sebagai penyerang pada babak kedua ketika bertemu Johor Pasir Gudang mengakui dia selesa bergandingan dengan Shukor di bahagian tengah.

“Saya dan Shukor memang sudah memahami permainan masing-masing kerana kerap beraksi bersama dalam skuad kebangsaan dan saya harap keserasian kami akan sekali lagi dapat membantu pasukan apabila berdepan Kedah nanti,“ katanya.

(Mohd Fadzrie Hazis , Berita Harian 12 Februari 2007)