23.02.07
Dollah dapat sokongan MB
Oleh: Lukman Salleh, Berita Harian
DOLLAH Salleh mendapat suntikan semangat di ambang pertemuan setempat Piala Malaysia dengan musuh ketat Kuala Lumpur, hari ini, apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Khir Toyo menyatakan sokongan sepenuhnya kepada jurulatih Merah Kuning itu mengharungi keadaan gelora skuad itu.
Khir, mungkin menolak permintaan Dollah untuk mendapat pemain import bagi menutupkan kepincangan skuad Merah Kuning ketika ini sebaliknya dia mendapat habuan yang lebih penting iaitu sokongan tidak berbelah bagi yang nyata cukup menaikkan semangat bekas pemain kebangsaan ini.
“Saya sudah menjelaskan kepada Datuk Seri mengenai hasrat saya untuk mengambil pemain import, namun beliau mahu skuad Selangor musim ini terus dibarisi pemain tempatan kerana kami sedang membina pasukan untuk masa depan,” kata Dollah, semalam. “Dan kami terima keputusan beliau.
“Walaupun Presiden menolak permintaan saya untuk mendapatkan pemain import tetapi yang lebih penting beliau memberi sokongan sepenuhnya kepada saya untuk meneruskan tugas dengan barisan yang ada dalam pasukan ini.
“Beliau meminta saya menganggap musim ini sebagai tempoh percubaan atau peralihan menghadapi apa juga kekurangan dengan bersemangat.
“Saya sungguh gembira mendengar kata-kata ini dan saya sudah memaklumkan perkara ini kepada pemain dan saya harap ia akan dapat menaikkan semangat mereka terutama sekali dalam pertemuan dengan Kuala Lumpur, esok (malam ini),” katanya.
Ketiadaan import musim ini menyebabkan Dollah menyandarkan harapan kepada beberapa tonggak tempatan tetapi pemain ini kemudiannya dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan Olimpik sekali gus menyukarkan jurulatih ini membariskan kesebelasan terbaik.
“Jurang antara pemain dalam kesebelasan utama dan simpanan begitu jauh dan apabila secara tiba-tiba pemain tidak dapat pelepasan dari skuad negara ia akan menjejaskan perancangan kerana kami tidak mempunyai pemain import, ” kata Dollah.
(Lukman Salleh, Berita Harian 23 Februari 2007)