08.02.07
Dollah sukar buat pilihan jentera tengah
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis , Berita Harian
SEANDAINYA kepulangan tiga pemain dari skuad kebangsaan - Muhd Shukor Adan, Fadzli Shaari dan Safiq Rahim - sebelum ini dinantikan jurulatih Selangor, Dollah Salleh, kini dia berdepan masalah lain dalam menentukan gandingan di antara mereka untuk menerajui jentera tengah.
Walaupun gembira dengan kehadiran mereka, Dollah kini sukar membuat pilihan di antara Fadzli dan Safiq untuk digandingkan dengan Shukor di bahagian tengah untuk perlawanan menentang Johor Pasir Gudang dalam kempen Piala Malaysia di Larkin, Johor, Sabtu ini.
“Sehingga ini, saya masih belum membuat keputusan siapa yang akan bergandingan dengan Shukor kerana Fadzli dan Safiq mempunyai kelebihan masing-masing.
“Saya akan hanya membuat keputusan siapa yang akan diturunkan sehari sebelum perlawanan,” kata Dollah.
Fadzli adalah pemain serba boleh yang juga mampu beraksi di bahagian sayap dan serangan tetapi Dollah lebih gemar menggunakan Muhd Amri Yahyah dan juga penyerang muda, S Sritharan untuk tugas menggempur.
“Gandingan Amri dan Sritharan kini semakin baik, dan memang saya menantikan kehadiran semula Sritharan bagi menampung kekosongan yang ditinggalkan Akmal Rizal dan juga Safee Sali yang kini menjalani latihan pemulihan di Wisma FAM,” katanya.
Bagi Shukor pula, selepas mengerah kudrat buat skuad negara di Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean, tumpuannya kini adalah membantu Selangor memastikan kemenangan di Larkin.
“Semua pemain kelihatan bersemangat menjelang pertemuan dengan Johor, dan saya yakin kami mampu mencatat kejayaan di Larkin,” kata pemain kelahiran Melaka itu.
(Mohd Fadzrie Hazis , Berita Harian 8 Februari 2007)