24.02.07
Dollah waspada jerat Perlis
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian
SELANGOR mengerti betapa Perlis kini ibarat singa yang terluka dan faktor ini harus membuat anak didik Dollah Salleh untuk bertindak lebih waspada agar tidak terperangkap di halaman sendiri apabila menentang lawan dalam saingan Kumpulan A, Piala Malaysia, malam ini.
Sambil skuad Merah Kuning itu lebih stabil selepas kemenangan 2-1 ke atas Pulau Pinang dalam Liga Super, Rabu lalu, Perlis jelas bertekad untuk bangkit sebagaimana amaran dilaungkan oleh jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim yang mahu membawa pulang tiga mata yang tercicir di Alor Star tempoh hari apabila kecundang 0-1 kepada pasukan jiran, Kedah.
Tidak dinafikan segala emosi dan sifat yakin di antara kedua-dua pasukan yang sudah mengecapi nikmat trofi kejuaraan kejohanan berprestij itu harus menjelmakan aksi hebat di Stadium Shah Alam, nanti.
Bagi pemain tengah Selangor Fadzli Shaari, dia mengharapkan rakan sepasukan akan terus mempamerkan komitmen tinggi pada pertemuan dengan Singa Utara.
“Memang bukan tugas mudah bertemu Perlis yang juga pendahulu Liga Super dan mereka pasti mahu mencatatkan kemenangan bagi mengubat luka tewas kepada Kedah dalam saingan Liga Super Rabu lalu.
“Tetapi kami akan beraksi di depan penyokong sendiri esok (malam ini) dan saya yakin kehadiran penyokong setia akan menyemarakkan semangat pemain, saya yakin jika komitmen sama dipamerkan seperti ketika bertemu Pulau Pinang kami mampu mengejutkan Perlis, ” kata Fadzli yang juga bekas pemain Pahang.
Walaupun setakat ini Selangor hanya menduduki tangga kelapan Liga Super dengan lapan mata daripada sembilan perlawanan, saingan Piala Malaysia menyaksikan kecemerlangan juara 30 kali Piala Malaysia ini yang mendahului Kumpulan A dengan enam mata dari dua perlawanan.
Bagi Dollah, dia mengingatkan pemainnya untuk tidak terlalu menghormati lawan walaupun mereka adalah juara bertahan Piala Malaysia dan juga pendahulu Liga Super kini.
“Saya harap pemain saya akan sentiasa memberi tumpuan penuh dalam perlawanan bertemu Perlis, saya sudah katakan kepada pemain mereka tidak harus terlalu menghormati lawan jika mahu menang.
“Walaupun kami beraksi tanpa import, ia bukan bererti kami tidak mampu mengejutkan Perlis, ” kata pengendali itu.
Dollah turut mengakui ketua pasukan Shukor Adan akan diturunkan pada pertemuan malam ini walaupun sebelum ini timbul keraguan terhadap kecergasannya.
“Shukor adalah seorang pemain yang mempunyai mental yang kuat, kerana itu dia sempat pulih dari kecederaan hamstring yang dialami, ” katanya.
(Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian 24 Februari 2007)