Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
26.02.07

Fadzli pada tahap terbaik: Dollah

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian

AKSI Mohd Fadzli Shaari bersama Selangor musim ini mencuri tumpuan bukan saja kerana empat gol jaringannya musim ini tetapi juga kemampuannya menjadi penggerak utama Selangor musim ini bersama ketua pasukan, Mohd Shukor Adan.

Biarpun Fadzli tidak menjaringkan gol ketika bertemu Perlis dalam saingan Piala Malaysia Sabtu lalu, namun kehadirannya di bahagian serangan kerap mengancam kubu Singa Utara.

Bekas pemain Pahang ini mengakui semakin serasi dengan rakan sepasukan walaupun beraksi pada musim pertama bersama Selangor musim ini.

“Saya berpuas hati sudah menjumpai sentuhan jaringan musim ini, namun aksi baik saya adalah hasil kerjasama sepasukan yang erat.

“Tidak mungkin saya dapat mempamerkan aksi terbaik tanpa sokongan rakan sepasukan, beraksi tanpa import memang mencabar dan kerana itu kami harus mempunyai kerjasama sepasukan yang erat,” kata Fadzli yang juga bekas pelatih kelab SV Wehen, Jerman.

Bagi Fadzli, dia tidak mempunyai masalah bergandingan dengan pemain lain dalam skuad Selangor kerana sudah mengenali sebahagian besar pemain ketika dalam skuad kebangsaan.

“Tidak ada masalah membentuk gandingan bersama pemain Selangor yang yang lain kerana pemain seperti Shukor, Amri (Yahyah) dan D Surendran pernah atau masih bersama saya dalam skuad kebangsaan dan saya memang mengenali corak permainan mereka,” katanya.

Fadzli turut berasa bangga dengan persembahan pemain muda Selangor seperti Zaiza Zainal Abidin, Amirul Hadi Zainal serta Nasriq Bahrom dan baginya tidak mustahil skuad Merah Kuning mampu meneruskan rentak kemenangan musim ini jika semua pemain dapat mengekalkan tahap permainan yang konsisten.

Bagi jurulatih Selangor, Dollah Salleh, kehadiran Fadzli memberi keyakinan kepada pemain muda dalam skuad itu musim ini.

“Saya akui Fadzli kini berada pada tahap terbaik, kebolehannya beraksi di beberapa posisi berbeza juga menjadi kelebihan buat kami menghadapi saingan musim ini.

“Dia juga sentiasa mempamerkan komitmen tinggi ketika latihan dan saya harap dia akan dapat mengekalkan tahap permainan terbaiknya sehingga akhir musim,” kata Dollah.

(Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian 26 Februari 2007)