26.02.07
Hadiah istimewa Satim
Oleh: Berita Harian
Mohd Fadzrie Hazis dari Berita Harian melaporkan, KEJAYAAN Selangor menundukkan juara bertahan Piala Malaysia, Perlis 1-0 di peringkat Kumpulan A, kelmarin adalah hadiah terbaik buat pengurus pasukan, Datuk Satim Diman yang menyambut hari jadi ke-53 pada hari perlawanan itu.
“Bagi saya kemenangan ini adalah hadiah buat pengurus kami (Datuk Satim Diman). Dia ada memberikan kata semangat kepada pemain sebelum perlawanan dan pemain nampaknya seperti diberi suntikan semangat sehingga berjaya mempamerkan aksi terbaik untuk menewaskan Perlis.
“Sebelum ini saya sentiasa mengharapkan pemain untuk mempamerkan aksi permainan pantas seperti malam ini (kelmarin) dan saya gembira mereka berjaya mempamerkannya,” kata jurulatih Selangor, Dollah Salleh.
Kini, Dollah berharap rentak sama dapat dipamerkan anak buahnya dalam saingan Liga Super dalam usaha memperbaiki kedudukan mereka.
Aksi Selangor turut mendapat pujian daripada jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim yang mengakui lawan itu kerap memberi tekanan untuk memenangi setiap rebutan bola.
“Jika Selangor dapat mengekalkan corak begini, baguslah untuk mereka dan kami pula harus mengubah corak permainan apabila berdepan dengan pasukan yang mengamalkan permainan pantas serta kawalan bahagian tengah yang ketat,” kata Abdul Rahman.
Abdul Rahman mengakui kecewa dengan kekalahan Perlis kelmarin, namun yakin pasukannya mampu bangkit dalam saingan Piala Malaysia selepas ini kerana dari tiga perlawanan yang dilalui, pasukannya mereka beraksi di tempat lawan.
Perlis kini mengutip empat mata dari tiga perlawanan dan menghuni tangga ketiga kumpulan mengekori Selangor selaku pendahulu dengan lima mata.