15.02.07
Selangor 0 Kedah 2 (Liga Super)
Kedah menewaskan Selangor 2-0 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam ini.
Skuad Hijau Kuning yang menguasai perlawanan sepenuhnya dan seharusnya menyalahkan diri apabila tidak menang dengan jaringan yang lebih besar akhirnya hanya berpuas hati dengan gol Ahmad Fauzi Shaari pada minit ke-10 dan pemain gantian Hasmawi Hassan pada minit ke 76.
Barisan mentah Selangor yang dikemudi dua pemain muda Mohd Fadzirul Zakaria dan Mohd Nasriq Baharom gagal menghalang barisan penyerang-penyerang Kedah yang terdiri dari Marlon Alex James dan Shafiq Jamal dari bermaharajalela.
Namun pasukan pelawat gagal mengambil kesempatan dari pelbagai peluang yang terhidang di hadapan gol.
Hanya empat minit perlawanan berlangsung, Marlon yang tidak dikawal hampir menjaringkan gol menerusi tandukan namun digagalkan oleh penjaga gol Selangor, Megat Amir Faisal.
Namun pemain tengah Kedah, Fauzi Shaari mengambil kesempatan dari kelekaan barisan pertahanan tuan rumah untuk menewaskan Megat hasil sepakan kencang di dalam kotak penalti untuk Kedah mendahului pada minit ke-10.
Penyerang Selangor, Mohd Amri Yahyah dan Abdul Hadi Yahya, sebaliknya langsung tidak mencabar penjaga gol pelawat, Abdul Hadi Abdul Hamid.
Pemain gantian Hasmawi akhirnya menambah derita Selangor dengan gol kedua Kedah pada minit ke-76.
Selangor: Megat Amir Faisal, Razman Roslan, Mohd Fadzirul Zakaria, Abdul Hadi Yahya (Mohd Fadhil Hashim), Mohd Nasriq Baharom, P. Gunalan, Mohd Amri Yahyah, D. Surendran (Razlan Joffri), Fadzli Saari, Mohd Shukor Adan, Mohd Asaruddin Putra
Kedah: Abdul Hadi Hamid, Victor Andrag, Bernard Hugging, Marlon Alex James, Nelson Sam Martin, Ahmad Fauzi Shaari, K. Soley, V. Thirumurugan, Roshaidi Wahab (Shafizan Hashim), Badrul Bakhtiar (Hasmawi Hassan), Shafiq Jamal